ALEXANDRA (tengah) bersama rakan menikmati makanan tempatan kegemarannya iaitu nasi lemak dan roti canai.
ALEXANDRA (kanan) dari Romania ketika menyertai pesta air.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Tujuan asal Alexandra Radu ke Kuala Lumpur kira-kira tiga tahun lalu hanya untuk bercuti bersama suami. Namun, percutian singkat pasangan Romania ini mengubah keputusan mereka untuk terus menetap di negara ini.

Alexandra, 36, mengaku tertawan dengan kepelbagaian budaya di Malaysia dan kehijauan alam semula jadinya. Namun, keramahan penduduk tempatan dan masakan tradisional memikat hatinya untuk menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua.

1. Kali pertama menjejakkan kaki di Malaysia dan tujuannya?

Kali pertama saya datang ke Malaysia pada 2014 untuk satu percutian pendek bersama suami. Ketika itu kami menetap di Jakarta, Indonesia. Kami jatuh cinta dengan Kuala Lumpur dan pada penghujung tahun berkenaan, kami membuat keputusan untuk berpindah ke negara ini.

Kuala Lumpur adalah satu daripada bandar raya terbaik di Asia Tenggara untuk didiami golongan ekspatriat kerana kualiti hidup dan infrastruktur yang baik serta masih mengekalkan kehijauan.

Keunikan yang paling ketara adalah kita masih boleh melakukan aktiviti menjejak denai bukit dan belantara di tengah-tengah ibu kota.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum datang ke sini?

Kerjaya sebagai wartawan foto membawa saya menjelajah ke seluruh pelosok Asia Tenggara untuk membuat liputan berita antarabangsa. Oleh itu, budaya, ekonomi dan politik di rantau ini mencetus minat yang tinggi kepada saya. Disebabkan itu, saya sudah biasa dengan banyak aspek mengenai Malaysia.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang menetap di Malaysia?

Saya tidak berdepan sebarang kesukaran kerana sebelum berpindah ke negara ini saya menetap di Indonesia hampir tiga tahun. Di sana saya belajar bahasa Indonesia sehingga fasih menuturkannya.

Oleh itu, saya tidak mempunyai masalah untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Tambah lagi, ramai yang bertutur dalam bahasa Inggeris di negara ini. Budaya kedua-dua negara berjiran ini juga hampir sama, jadi saya tidak mengalami kejutan budaya sebaik berpindah ke sini.

Cuma saya dapati segelintir penduduk tempatan bersifat perkauman. Walaupun hal ini tidak menjejaskan saya, saya berharap sikap itu boleh diubah untuk masa depan negara yang lebih baik.

4. Destinasi kegemaran anda?

Saya sangat tertarik dengan sambutan perayaan Thaipusam. Oleh itu, saya tidak pernah ketinggalan menyaksikan perayaan ini di Batu Caves setiap tahun untuk merakam gambar penganut Hindu melakukan upacara keagamaan mereka termasuk menebus dosa bagi memohon keampunan.

Saya juga sukakan kawasan kampung dan hutan. Sayangnya, hutan Malaysia sudah banyak diterangkan untuk dijadikan ladang. Bagaimanapun, baki hutan yang masih ada sangat mengagumkan.

5. Pengalaman menarik sepanjang berada di Malaysia?

Saya dan suami pernah berkunjung ke rumah panjang di Lubok Antu, Sarawak dan tinggal di sana selama seminggu bersama penduduk tempatan. Kami berpeluang mengikuti aktiviti harian mereka, di samping mempelajari gaya hidup, budaya dan sejarah.

Malah, kami turut membuat tatu corak bunga terung yang dicacah secara tradisional. Tatu berkenaan adalah tradisi masyarakat Iban dan kami menyukainya. Sememangnya saya gemarkan budaya Malaysia dan kepelbagaiannya tidak pernah berhenti memukau saya.

6. Sajian tempatan pilihan anda?

Nasi lemak, roti canai dan bak kut teh. Saya akan rindukan ketiga-tiga makanan ini jika ke luar negara atau pulang ke kampung halaman.

7. Malaysia pada mata anda?

Malaysia bukan saja rumah kedua, malah tempat terbaik untuk saya jadikan pusat operasi sebagai wartawan foto di Asia Tenggara. Lokasinya yang strategik membolehkan saya pergi

ke mana-mana negara di Asia Tenggara dalam satu hingga dua jam penerbangan.

Walaupun Kuala Lumpur pada mata saya adalah bandar raya terbaik di Asia Tenggara untuk didiami, sayangnya ia tidak tersenarai dalam blog kembara antarabangsa. Saya juga tertarik dengan keramahan rakyat Malaysia yang sentiasa mengalu-alukan tetamu dan ini menjadikan kehidupan saya di sini sangat ceria.

Saya juga mempunyai ramai rakan baik yang sentiasa ada di sisi sehingga saya tidak berasa sunyi walaupun berjauhan daripada keluarga dan kampung halaman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 3:05 AM