PEMANDANGAN indah waktu Subuh di Danau Toba yang terhasil akibat letupan gunung berapi puluhan ribu tahun dahulu.
MENIKMATI buah-buahan di pasar buah Berastagi.
PENULIS bergambar di Air Terjun Sipiso-Piso, antara air terjun tertinggi di Indonesia.
TERPUKAU kisah Raja Sidabutar, Puteri Tasik dan tari boneka Sigale-gale untuk acara kematian.
Mohd Suzeekhan Jaapa
metahad@hmetro.com.my


Rancangan menghabiskan cuti akhir tahun membawa penulis mengikuti rombongan empat hari tiga malam ke Danau Toba di Medan, Indonesia. Sememangnya penulis sengaja memilih destinasi percutian di negara jiran kerana belanja agak murah dan berbaloi.

Rombongan kami terdiri daripada 38 dewasa dan dua kanak-kanak, berlepas tepat jam 2.55 petang dengan menaiki pesawat Air Asia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu selepas 45 minit penerbangan dan disambut pemandu pelancong dikenali sebagai Pak Supir. Selepas makan tengah hari di Restoran Ayam Penyet dan bersolat, kami meneruskan perjalanan ke destinasi pertama iaitu hotel penginapan di Danau Toba International Cottage, Parapat.

Perjalanan ke Parapat mengambil masa lima jam dan sepanjang perjalanan dapat dilihat pemandangan pokok getah, kelapa sawit dan sawah padi. Kami berhenti sebentar untuk merakam gambar kenangan. Kami turut singgah di Paten Shop iaitu tempat menjual barangan cenderahati khas.

Lebih kurang jam 10 malam waktu tempatan, kami singgah di Permatang Siantar. Di sini terdapat perusahaan dan kedai yang menjual pelbagai jenis kacang dan bijian. Nama-nama makanan pula agak pelik iaitu teng-teng, ting-ting, tang-tang, ping-ping, pong-pong, pang-pang dan sebagainya. Teruja juga untuk mencuba, jadi kami beli beberapa jenis makanan untuk dikongsi beramai-ramai sebelum meneruskan perjalanan ke Parapat.

Apabila tiba di hotel, semuanya sudah penat dan hanya berehat di bilik masing-masing selepas makan malam. Tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan kerana suasananya agak gelap. Cuma dapat melihat cahaya di Danau Toba. Cuaca pula agak sejuk, mungkin disebabkan lokasi tempat ini yang terletak di kawasan tanah tinggi.

Usai solat Subuh pada hari kedua, penulis meninjau keindahan Danau Toba dari koridor bilik dan sempat merakamkan gambar panorama tasik yang menakjubkan. Selepas bersarapan kami dibawa ke jeti untuk menaiki bot merentas Danau Toba ke Pulau Samosir iaitu pulau di tengah-tengah tasik berkenaan.

Berkunjung ke tasik itu memberi peluang kepada penulis menikmati keindahan khazanah semula jadi yang tidak ternilai. Sepanjang perjalanan kami dihiburkan oleh tiga orang kanak-kanak pengamen. Bagi yang mahu ke sini, jangan lupa sediakan wang kecil sebagai bayaran persembahan untuk penghibur jalanan seperti ini.

Tiba di Pulau Samosir, kami dibawa melawat ke Tomok iaitu perkampungan masyarakat Batak. Di sini kami diterangkan mengenai kehidupan dan adat resam masyarakat Batak. Bagaimanapun, perkampungan yang ada pada hari ini sekadar bayangan kehidupan masyarakat Batak dahulu kala.

Kemudian kami singgah ke makam lama dan dihiburkan dengan tarian tradisi masyarakat itu. Pelancong turut dipelawa menari beramai-ramai dan jika tidak segan, bolehlah menari bersama. Penulis difahamkan bahawa Tomok terkenal dengan kisah Raja Sidabutar, Puteri Tasik dan tari boneka Sigale-gale yang mengikut sejarahnya dipersembahkan untuk acara kematian.

Sepanjang laluan pergi dan balik terdapat pelbagai gerai menjual pakaian, cenderamata, buah-buahan dan lain-lain. Penjualnya pula seolah-olah memaksa kami membeli barangan mereka. Rimas juga dengan gelagat mereka yang mengekori rombongan sehingga ke bot. Namun, itulah cara mereka untuk meneruskan hidup.

Destinasi seterusnya, kami ke Berastagi iaitu bandar di puncak pergunungan sejuk dan terkenal dengan pasar buah dan bunga. Dalam perjalanan dua jam itu, kami berhenti sekejap di Simarjarunjung iaitu bukit tertinggi di pinggir Danau Toba yang sangat sejuk untuk melihat pemandangan indah tasik terkenal itu dari atas.

Sempat juga penulis menikmati teh halia dan pisang goreng enak yang menjadi sebutan ramai. Rombongan turut dibawa melawat Air Terjun Sipiso-Piso.

Menurut Pak Supir, Sipiso-piso bermaksud pisau dalam bahasa tempatan. Air terjun ini terhasil daripada aliran air yang menuruni kawasan cerun. Namun, kami cuma boleh melihat dari jauh kerana lokasi air terjun itu agak jauh ke dalam.

Sepanjang perjalanan kelihatan kebun sayur yang subur menghijau. Di pekan kecil pula terdapat pelbagai jenis sayuran dan buah-buahan segar dijual. Tiba di bandar Berastagi kami singgah di pasar buah-buahan. Penulis berpeluang mengenali pelbagai jenis buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan yang tidak terdapat di Malaysia dan semuanya segar-segar belaka.

Pada hari ketiga, rombongan dibawa ke Bukit Gundaling untuk melihat dua gunung berapi yang masih aktif di Berastagi iaitu Gunung Sibayak setinggi 2,172 meter dan Gunung Sinabung setinggi 2,417 meter.

Perjalanan kami kemudian diteruskan ke beberapa tempat bersejarah di kota Medan melalui Sibolangit. Destinasi pertama di Medan ialah Istana Maimun iaitu warisan Kesultanan Deli.

Istana yang dibangunkan oleh Sultan Deli Kesembilan, Sultan Mahmud Al-Rasyid itu menggunakan kepakaran arkitek dari Itali yang menggabungkan unsur warisan kebudayaan Melayu dan elemen seni Islam, Sepanyol, India dan Itali. Istana yang mula dibina pada 26 Ogos 1888 itu siap sepenuhnya pada 18 Mei 1891.

Di Medan, kami dibawa ke Pasar Ikan yang dibarisi deretan kedai menawarkan pelbagai barangan murah. Sebagai kenangan, penulis membeli beberapa pakaian seperti baju batik Indonesia. Seperti biasa, di luar kedai penjual jalanan sedia menunggu dan tidak jemu memujuk kami membeli barangan jualan mereka. Satu perkara yang tidak seronok ialah mereka mengekori kami hingga ke dalam bas!

Sebelah malam, kami makan di restoran yang agak unik - Restoran Lubok Idai. Di sini, cuma ada meja rendah tanpa kerusi. Bermakna pengunjung perlu duduk bersila untuk menikmati sajiannya. Teruja juga apabila dihidangkan dengan kelainan sebegini, lebih-lebih lagi masakan ala kampung benar-benar memenuhi selera kami.

Selepas makan kami masih diekori oleh beberapa penjual. Mereka sudah tahu jadual perjalanan rombongan ke Medan. Masih ada ahli rombongan yang tergoda membeli disebabkan harga yang ditawarkan lebih rendah berbanding sebelumnya.

Walaupun percutian pendek, namun penulis berpuas hati menempuh pengalaman di Sumatera Utara yang menyeronokkan selain keindahan alam semula jadinya. Malah, penulis juga tidak mempunyai masalah mencari makanan halal dan tempat bersolat kerana mengikuti pakej pelancongan Muslim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 3:19 AM