PESERTA bersedia untuk berdepan cabaran berbasikal 40 kilometer.
Syahid Sokri
am@hmetro.com.my

Acara ‘Kedah Cycle And Run For Water’ berlangsung di Kriang Hill Resort, Alor Setar, Kedah baru-baru ini, memberi pengalaman mengujakan bagi 300 peserta apabila berbasikal sejauh 40 kilometer mengelilingi sawah padi dan laluan tepi laut.

Lebih istimewa, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz Almarhum Sultan Abdul Halim, mencemar duli menyertai larian sejauh empat kilometer dalam program anjuran Tabung Alam Semulajadi Sedunia (WWF) Malaysia.

Acara itu menjadi penanda aras bagi meningkatkan kesedaran masyarakat awam berkenaan kepentingan menjaga sumber air di kawasan Empangan Muda yang menjadi titik tolak kepada kehidupan kepelbagaian bio di negeri Kedah dan Pulau Pinang.

Walaupun trek disediakan kelihatan landai dan tidak berbukit, namun masih ada cabaran berbeza bagi menguji kemahiran kayuhan sekali gus menjadikan ia satu pengalaman baru.

Kayuhan bermula jam 6.45 pagi dari Keriang Hill Resort dilepaskan Tunku Puteri Intan Safinaz.

Acara itu membuktikan aktiviti berbasikal mampu menjalinkan silaturahim antara golongan istana dengan rakyat biasa.

Pada 10 kilometer pertama di laluan biasa menyaksikan basikal jalan raya (RB) mendahului sehingga sekitar Mergong dengan kelebihan tayar tirus bersaiz 29 inci yang mempunyai radius lebih panjang daripada basikal bukit (MTB).

Sekitar 20 minit kebanyakan pelumba berjaya sampai di tempat pemeriksaan pertama di simpang Tesco Mergong.

Namun, keseronokan penunggang basikal RB terhenti apabila mereka terpaksa mengharungi laluan dalam kampung yang menguji daya ketahanan mental dan fizikal.


PESERTA melepas lelah di hentian pertama.

Kemahiran mengendalikan basikal peserta teruji apabila terpaksa melalui trek sawah padi yang sempit dan becak serta licin akibat hujan pada malamnya.

Ini memberikan kelebihan kepada peserta basikal MTB untuk terus memecut laju meninggalkan pelumba basikal RB.

Selesai di pemeriksaan kedua, ramai peserta keletihan dan berkayuh secara santai sambil menikmati pemandangan indah sawah padi di sebelah kanan dan pantai di sebelah kiri.

Peserta, Mohd Zulhilmi Zahir, 15, berkata acara kali ini memberi peluang kepada muka baru yang mula berjinak-jinak dalam sukan basikal menyertai perlumbaan.

Dia yang memenangi tempat pertama turut mengakui trek yang dipilih amat mencabar.

“Ini pengalaman pertama saya menyertai acara sebegini dan berpendapat ia sesuatu yang baik kerana penganjur menjadikan sukan berbasikal sebagai medium menanam kecintaan terhadap alam semula jadi.

“Konsep berbasikal untuk alam ini amat bertepatan kerana dengan berbasikal kita dapat menyelamatkan alam semula jadi dengan mengurangkan pengeluaran gas karbon monoksida daripada asap kenderaan,” katanya yang berharap acara sama diteruskan pada masa depan.

Bagi Mohd Nazri Md Pazilah, 36, sememangnya beliau menantikan acara itu dan sanggup mengambil cuti bagi mengalami sendiri debaran berkayuh bersama rakan kelab yang lain.

“Walaupun trek disediakan adalah laluan latihan biasa tetapi saya mahu menguji kemampuan diri sekali gus menambah baik prestasi kayuhan.

“Basikal adalah objek untuk mengukur daya prestasi diri, walaupun sering menyertai perlumbaan tetapi kekuatan sebenar adalah dalam meningkatkan keyakinan diri dalam setiap perlumbaan,” katanya.


BEBERAPA peserta tidak ketinggalan merakam kenangan sebelum perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 1:34 AM