MUHAMMAD Haiqal (kiri) bersama Rafeah (tengah) dan Hoesni ketika berkonvoi ke acara motosikal di Thailand.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Kegemaran menunggang motosikal dan berkonvoi bagi pengurus teknikal kilang sejak bujang, kini dikongsi bersama isteri dan seorang anaknya.

Malah, ketiga-tiganya turut menganggotai kelab motosikal retro dan menyertai pelbagai aktiviti bermotosikal di seluruh negara.

Hoesni Md Arof, 53, berkata, dia aktif bermotosikal sejak 1982 dan menggunakan jentera itu bukan saja untuk berulang-alik ke tempat kerja, malah menjadikan aktiviti menunggang hobi yang sangat menarik serta bermakna bersama rakan.

Bapa dua cahaya mata itu mengakui minat dalam aktiviti bermotosikal didorong oleh ayahnya, Md Arof Yunus, 78, yang juga gemar menunggang dan mengumpul motosikal ketika muda dulu.


HOESNI dan Rafeah menjadikan aktiviti bermotosikal untuk erat hubungan.

“Antara motosikal pernah saya miliki Suzuki GP, Suzuki TRX, Yamaha RXS, Yamaha RS100 dan Kawasaki AR125.

“Saya kerap menukar model motosikal kerana setiap jentera memberi pengalaman pengendalian berbeza.

“Sekarang saya mengumpul kira-kira 10 motosikal yang kebanyakannya jentera keluaran lama seperti Yamaha RD250 dan Yamaha RS.

“Selepas berkahwin, saya masih meneruskan aktiviti menunggang motosikal bersama isteri, Rafeah Mohamed Sapari, 49, sehingga kami dikurniakan dua anak,” katanya.

Menurutnya, aktiviti bermotosikal sudah sebati dengan jiwanya dan tidak menganggap ia sekadar hobi biasa.


RAFEAH menunggang motosikal untuk melupakan tekanan.

Katanya, disebabkan terlalu obses terhadap aktiviti bermotosikal, hampir setiap minggu atau masa terluang, dia menunggang motosikal bersama isteri dan anak.

Muhammad Haiqal, 27, menyertai ibu bapanya menunggang motosikal kira-kira enam tahun lalu selepas sering mengikut mereka ke acara anjuran kelab permotoran termasuk berkonvoi.

“Banyak kali kami mengikuti program motosikal antaranya konvoi anjuran kelab tertentu dan menghadiri perhimpunan motosikal di seluruh negara.

“Malah, kami turut menunggang motosikal ke beberapa lokasi di Thailand yang memang terkenal dengan tempat yang menjadi tumpuan penunggang motosikal untuk berkonvoi,” katanya.


HOESNI bersama jentera retro yang ditunggang ketika bujang.

Rafeah yang juga bekas pesakit kanser payudara berkata, hobi yang dikongsi sekeluarga dapat membantu mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui aktiviti yang dijalankan bersama pada masa lapang dan hujung minggu.

“Selalunya saya membonceng motosikal bersama suami, tetapi ada masa juga saya menunggang berasingan.

“Ini dapat menghilangkan tekanan, selain merehatkan minda terutama selepas menjalani pembedahan kanser payudara dua tahun lalu.

“Saya bersyukur kerana penyakit ini dapat dikesan pada peringkat awal dan segera menjalani pembedahan. Namun, bagi mengelak kanser berulang ia banyak bergantung kepada kekuatan dalaman pesakit. Oleh itu, saya perlu sentiasa berfikiran positif dan jauhi tekanan,” katanya.


ACARA motosikal yang dihadiri tiga beranak di Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 1:39 AM