AYAM pandan penuhi cita rasa pelanggan.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Hidangan Thailand seperti tom yam sama ada berkuah putih, merah atau santan; somtam, telur bungkus, siakap tiga rasa dengan bumbu mangga muda dipadankan teh hijau dan air serai segar cukup menggamit selera.

Ini ditambah rasa masam, pedas dan manis yang membuatkan ia menjadi hidangan istimewa pada hujung minggu.

Bagi peminat hidangan Thai boleh mengunjungi Restoran Lazathai di Park Lane, Kelana Jaya, Selangor yang menawarkan menu asli dari Pattani dan Narathiwat.

Pemiliknya Mohd Mazlan Baharuddin berkata, menu yang sering menjadi pilihan pelanggan adalah nasi phad kra paw, kari hijau ayam atau daging, phadthai kuetiau, nasi khaomok dan istimewa nasi goreng Lazathai yang dihidang bersama prik nam pla iaitu sejenis sos popular Thai.

“Masakan itu disediakan oleh tiga tukang masak khas dari Narathiwat yang mengekalkan kesegaran bahan mentah, keaslian rasa dan kualiti rempah ratus daripada komponen aromatik yang wangi juga dibawa terus dari sana,” katanya yang dikenali dengan panggilan Lan Cino atau Lan Sepet.

Restoran diusahakan bersama isterinya, Nurhayati Md Rais, 30, dibuka setiap hari dari jam 12 tengah hari sehingga 1 pagi.

Katanya, bagi mengekalkan keenakan asli masakan dari negara Gajah Putih itu bukanlah sesuatu yang mudah.

Ini kerana Lazathai adalah kesinambungan kepada perniagaan restoran Amira Nabila Tomyam yang mempunyai tiga cawangan di Gemas, Negeri Sembilan. Ia kepunyaan ibu bapa Mazlan yang beroperasi sejak 25 tahun lalu.

“Keenakan menu diwarisi oleh ibu, Rohana Mat Rafi yang berasal dari Narathiwat dan berhijrah selepas berkahwin dengan ayah saya, orang Negeri Sembilan.

“Ibu saya bertuah kerana mendapat tiga tukang masak (seorang sudah meninggal dunia) yang setia dengannya selama 25 tahun.

“Kami mempunyai hampir 60 pekerja dan kakitangan yang dapat melancarkan urusan perniagaan,” katanya.

Walaupun dikenali sebagai restoran Thai, uniknya ia turut menyediakan hidangan masakan nasi campur pada tengah hari dengan menu Negeri Sembilan.

Resipi asli dimasak oleh Mazlan pasti masak lemak cili padi ditambah belimbing buluh, masak lemak telur itik, gulai daging salai dan ikan berlada mencuri tumpuan orang ramai.

Nurhayati berkata, dia bersama suami memasak lauk pauk nasi campur dan hanya menyediakan lima hingga tujuh jenis lauk sehari.

Katanya, menjelang jam 2 petang semua lauk pauk nasi campur habis dan selepas itu barulah masakan ‘ala carte’ disediakan.

Sebelum membuka restoran sejak setahun yang lalu, pasangan ini terlebih dulu menjalankan perniagaan penghantaran makanan di sekitar Lembah Klang menggunakan khidmat dalam talian atas nama Thai Food For You.

Sambutan sudah tentu masakan Thai dan pihaknya masih menerima tempahan cuma dalam jumlah yang agak banyak.

“Dulu saya bekerja pejabat sebelum mengambil keputusan berhenti selepas melahirkan anak sulung empat tahun lalu.

“Lebih kurang dua tahun saya membantu ibu di restorannya dan di sanalah saya menimba pengalaman menyediakan masakan serta belajar selok-belok perniagaan.

“Suami juga suka memasak dan kami sepakat membuka restoran serta sambutan terhadap menu yang disediakan sangat menggalakkan dan bercadang menambah kepelbagaian menu pada masa hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 1:03 PM