KELUARGA bahagia Gregg.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Pada usia 18 tahun, lelaki kelahiran England ini sudah memulakan pengembaraan meneroka negara lain.

Lebih menarik, Gregg J Parker menawarkan diri menjadi sukarelawan di kem pelarian Palestin di Jordan selama 18 bulan.

Dilahir dan dibesarkan di negara maju yang lengkap dengan pelbagai fasiliti, Gregg mengakui dia menerima pendedahan lebih meluas sepanjang berada di Jordan.

Berada di Malaysia sejak 13 tahun lalu, dia menjadi saksi perkembangan positif negara bertuah ini.

1. Kali pertama menjejakkan kaki ke Malaysia dan tujuannya?

Saya datang ke Malaysia atau lebih spesifik, Lahad Datu, Sabah pada 2002 dan menetap di sana selama tiga bulan.

Saya mempunyai kenalan berasal dari Sarawak tetapi menetap di Sabah, jadi sebagai permulaan saya berada di sana, sekali gus membiasakan diri dengan kehidupan baru di negara ini.

Berhijrah ke Kuala Lumpur dan memulakan kerjaya profesional berkaitan pengurusan majlis. Pada Mac 2010, saya melangsungkan perkahwinan dengan wanita tempatan dan kini memiliki tiga cahaya mata lelaki.

2. Sejauh mana anda mengenali Malaysia sebelum ke sini?

Maklumat mengenai Malaysia saya peroleh daripada kenalan yang melanjutkan pengajian di universiti sama.

Kata kenalan itu, kebanyakan rakyat Malaysia mampu berbahasa Inggeris, manakala Kuala Lumpur adalah bandar besar yang moden.

Apa yang pasti tarikan utamanya adalah budaya dan kepelbagaian makanan di Malaysia, bayangkan saya boleh menikmati roti canai bersama kari seawal jam 2 pagi.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang berada di Malaysia?

Saya ingat awal kehidupan di Malaysia tanpa pekerjaan yang baik, saya menggunakan bas awam sebagai pengangkutan. Sistem yang tidak begitu baik pada saya, untuk naik dan turun bas, saya perlu melompat kerana pemandunya terlalu tergesa-gesa.

Dulu, sistem kerajaan terutama imigresen agak teruk, namun kini keadaan berubah apabila banyak penambahbaikan dilaksanakan, sekali gus memudahkan urusan.

4. Pengalaman menarik sepanjang berada di Malaysia?

Paling menarik percutian bersama bapa dan adik lelaki ke Cherating, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Pulau Perhentian, Gerik, Pulau Pinang dengan menaiki kereta Perodua Kancil selama seminggu pada 2005.

Berbeza dengan hari ini, kami hanya menggunakan peta kertas yang dibeli di stesen minyak. Perkara yang melucukan apabila kami merancang untuk ke Pulau Pinang menggunakan laluan Gerik.

Kami menyangkakan jaraknya tidak terlalu jauh, tetapi sebaliknya kami terpaksa memandu hampir sembilan jam dikelilingi hutan. Meskipun kepenatan, perjalanan ini menjadi satu pengalaman yang paling indah buat saya.

5. Lokasi pilihan anda?

Kuching, Sarawak. Saya gembira dan berasa tenang sepanjang berada di sana. Boleh dikatakan setiap tahun saya dan keluarga bercuti di sana, malah saya memiliki ramai teman di Kuching.

Melaka adalah lokasi kedua pilihan saya kerana ia kaya dengan warisan, pelbagai budaya masyarakat dan saya boleh menyaksikan persembahan pentas di Jonker Street.

6. Sajian tempatan kegemaran anda?

Makanan vegetarian di Brickfields. Saya menikmati masa untuk diri sendiri dengan menjamu selera di restoran berkenaan.

7. Malaysia di mata anda?

Saya cintakan Malaysia kerana ia sebuah negara hebat yang menawarkan banyak peluang baru kepada semua orang terutama dunia keusahawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 1:12 PM