HIJAB bercorak minimalis masih kelihatan bergaya.
PAKAIAN longgar dengan padanan seluar palazo sesuai dipakai ke pejabat atau ke majlis berbuka puasa.
KURTA dengan padanan seluar slack pilihan jejaka untuk ke majlis berbuka puasa.
WARNA pastel pilihan tepat untuk penggemar gaya ringkas.
FABRIK kapas sesuai dan selesa dipakai kerana materialnya yang menyerap peluh.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Fesyen dan remaja sememangnya tidak dapat dipisahkan malah menjadi trend kebanyakan golongan muda kini memuat naik gambar pakaian mereka atau lebih dikenali sebagai ‘Outfit Of The Day’ (OOTD) di laman sosial masing-masing.

Penulis percaya lebih banyak gambar akan dimuat naik di Instagram mahupun Facebook terutama ketika bertemu teman di majlis berbuka puasa dan sebagainya sepanjang Ramadan ini.

Menyentuh mengenai OOTD, jangan lupa soal pemilihan pakaian ketika Ramadan bukan saja untuk menghormati bulan mulia ini tetapi kerana faktor cuaca yang boleh menyebabkan anda tidak selesa.

Tidak kiralah gadis mahupun jejaka, kedua-duanya perlu peka dengan soal itu dan berikut idea pakaian yang sesuai untuk remaja sepanjang Ramadan.

Fabrik serap peluh

Pakaian diperbuat daripada kain kapas paling sesuai dipakai kerana fabrik itu berupaya menyerap peluh dan sememangnya selesa untuk kita yang seharian melakukan pelbagai aktiviti pada siang hari.

Bukan apa, cuaca kini tidak menentu, jadi pemilihan fabrik perlu dititikberatkan lebih-lebih lagi untuk si gadis yang berhijab.

Lagipun, anda tentu tidak mahu pakaian yang tidak selesa dipakai.

Pakaian longgar

Selain tampil sopan, pakaian longgar memudahkan anda untuk bergerak dan pastinya lebih selesa jika cuaca siang hari panas ketika Ramadan.

Si gadis mungkin boleh mencuba blaus moden atau kemeja longgar dengan padanan seluar palazo ketika ke pejabat.

Padanan kurta dan seluar slack atau jubah memadai buat si jejaka kerana sesuai jika mereka mahu ke masjid untuk solat Tarawih selepas menghadiri majlis berbuka puasa.

Warna pastel

Boleh dikatakan warna pastel seperti hijau muda, kuning cair dan merah jambu muda tidak pernah lapuk, malah pilihan tepat untuk remaja yang ingin bergaya ringkas sepanjang Ramadan .

Bukan saja menyerlahkan imej sederhana,malah pakaian berwarna pastel membuatkan sejuk mata mereka yang memandang .

Namun, bukan satu kesalahan jika menggayakan pakaian berwarna monokrom atau gelap kerana ia terpulang kepada cita rasa masing-masing.

Hijab minimalis

Kita sedia maklum pelbagai jenis corak tudung dijual di pasaran dan terpulang kepada anda jika lebih menggemari yang bercorak atau berwarna polos.

Namun, mereka yang ingin kelihatan minimalis boleh mencuba tudung yang tidak sarat tetapi masih nampak ‘in trend’ sesuai dengan status anda yang masih remaja.

Bukankah minimalis itu lebih baik?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2017 @ 12:00 AM