ARIF
MELAKUKAN senaman ringan untuk memanaskan badan sebelum bermain.
LINCAH ketika bermain bola sepak di padang.
ARIF membuktikan kecacatan bukan penghalang bermain bola sepak.
BERSAMA bersama Sunny dan rakan sepasukan.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Kehilangan deria penglihatan ketika berumur lapan tahun bukan titik noktah untuk Mohamad Amirul Arif Mahadhir, 24, mengejar impian sebaliknya dia membuktikan orang kurang upaya (OKU) juga mampu bermain bola sepak untuk skuad kebangsaan.

Bukan setakat menjadi jaguh kampung malah anak kelahiran Johor yang mesra dengan panggilan Arif ini mempunyai rekod boleh dibanggakan apabila pasukannya meraih pingat emas ketika mewakili negara dalam temasya Sukan Para ASEAN di Singapura dua tahun lalu.

Bercerita lanjut, Arif berkata, ketika di sekolah, dia lebih aktif dalam olahraga namun gurunya memberi dorongan untuk bermain bola sepak selepas menyedari kebolehannya dalam sukan berkenaan.

“Pembabitan saya dalam bola sepak bermula selepas terpilih mengikuti kejohanan peringkat remaja di Korea Selatan pada 2011.

“Di sana, banyak pendedahan dan pengalaman yang diperoleh dan sejak itu, saya semakin aktif walaupun keluarga pada mulanya agak khuatir dengan keadaan saya ketika bermain di padang,” katanya yang pernah mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth dan Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) Johor Bahru.

Mengenai cabaran, Arif mengakui sukar bermain tanpa kebolehan melihat namun dengan bimbingan Ketua Jurulatih Pasukan Bola Sepak Orang Buta Kebangsaan Sunny Shalesh ketika sesi latihan banyak membantunya membaca pergerakan bola sekali gus menguasai permainan.

Pemegang Diploma Pengajian Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka itu berkata, selain jurulatih, rakan sepasukan juga banyak memberi semangat dan kerjasama baik untuk lebih serius sepanjang sesi latihan dan ketika terbabit dalam kejohanan.

“Ketika di padang, kami tidak dapat melihat jadi perlu peka dengan arahan jurulatih dan paling penting berinteraksi dengan rakan pemain melalui suara ketika membuat hantaran bola.

“Jika tidak, kesilapan akan berlaku dan ia sekali gus memberi peluang kepada pihak lawan untuk menjaringkan gol.

“Pada mulanya agak sukar malah mengambil masa beberapa bulan untuk mahir namun latihan konsisten membantu saya dan rakan sepasukan untuk bermain dengan baik di padang,” katanya.

Seperti atlet lain , Arif berkata, dia juga mempunyai impian melakar kejayaan di peringkat antarabangsa sekali gus mengharumkan nama negara.

Bukan untuk menjulang piala semata-mata tetapi kejayaan itu penting bagi membuka mata masyarakat terhadap kemampuan OKU cacat penglihatan.

“Sehingga kini, tiada lagi yang memandang rendah kemampuan saya namun saya mahu membuktikan kepada masyarakat OKU juga mempunyai kelebihan di sebalik kekurangan.

“Sebab itu, saya cabar diri bermain bola sepak dengan harapan apa yang dilakukan ini memberi inspirasi kepada OKU lain.

“Mana tahu satu hari nanti pasukan kami layak membawa nama Malaysia ke Piala Dunia?,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 3:56 AM