‘VESPA ABANG BUJANG’ ditubuhkan pada 2013 selepas seorang ahli mula membeli jentera klasik keluaran 60-an dan 70-an itu.
KOMUNITI ini turut merancang melakukan konvoi ke Pulau Langkawi.
PELBAGAI acara disertai bagi menarik minat golongan muda terhadap jentera retro ini.
KOMUNITI diberi nama ‘Vespa Abang Bujang’ ini sering menjalankan aktiviti riadah hujung minggu selain menyertai acara dan program membabitkan jentera klasik.
TURUT menambah pendapatan dengan menawarkan perkhidmatan sewaan skuter.
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my


Jentera klasik seperti skuter menjadi kegilaan anak muda masa kini dan membangkitkan suasana retro seperti waktu dulu-dulu.

Penulis tertarik dengan kegigihan kumpulan anak muda ini yang ingin menghidupkan kembali kenangan lama.

Komuniti yang diberi nama ‘Vespa Abang Bujang’ (#vespaabgbjg) ini terdiri daripada Generasi Y berumur sekitar 20-an tahun.

Menariknya, komuniti ini bukan sekadar memiliki vespa keluaran 1960-an dan 1970-an malah turut giat menyertai pelbagai acara untuk mengetengahkan jentera retro dua roda dalam kalangan anak muda.

Menurut seorang ahlinya, Mohd Azizi Mohamad, 25, Ramadan tidak menjadi penghalang bagi mereka untuk menganjurkan pelbagai aktiviti bermanfaat.

“Apabila tiba Ramadan, sudah menjadi kebiasaan kami akan berkumpul dan iftar bersama.

“Sempena bulan mulia kali ini, kami rancang anjurkan program ‘Feed The Homeless’ di sekitar Kuala Lumpur. Kami mengalu-alukankan sebarang sumbangan dan boleh berhubung melalui Instagram @abgbjg atau talian 017-328 8962,” katanya.

Kata Mohd Azizi, komuniti yang aktif di sekitar Lembah Klang ini juga kerap menjalankan aktiviti riadah selain Ramadan.

“Kebiasaannya, kami berkonvoi ke satu lokasi untuk beriadah seperti mandi-manda di air terjun.

“Jika masa pendek, kami meluangkan masa di kafe, restoran atau bengkel skuter dan berkongsi cerita atau bertukar pendapat,” katanya.

Mohd Azizi berkata, komuniti yang terdiri daripada kenalan rapatnya itu ditubuhkan pada 2013 selepas seorang daripada mereka membeli skuter.

“Semua bermula lepas rakan kami, Wan Muhammad Ikhwan Wan Shamsuddin, membeli satu skuter klasik ini dan dari situ yang lain mengikuti jejak langkahnya.

“Memiliki skuter lama ini ternyata menzahirkan satu perasaan berbeza dan tidak sama seperti memiliki motosikal lain.

“Kepuasan juga berbeza terutama apabila mendengar bunyi deruan ekzos yang begitu klasik. Model skuter moden turut dikeluarkan dan boleh didapati di pasaran namun, model lama ini mempunyai keunikan yang tersendiri,” katanya.

Walaupun harga dan kos menyelenggara skuter klasik ini agak tinggi, Mohd Azizi berkata, ahli Vespa Abang Bujang aktif memanfaatkan peluang yang ada untuk mencari pendapatan sampingan.

“Harga untuk dapatkan satu skuter lama boleh mencecah sehingga RM 9,000 dan penyelenggaraan menelan belanja yang tinggi.

“Antara usaha yang kami jalankan adalah menawarkan perkhidmatan menyewa jentera klasik untuk sesi penggambaran.

“Selain itu, kami turut hasilkan baju-T di bawah jenama Vespa Abang Bujang. Inisiatif ini bukan sekadar mempromosikan komuniti kami tapi pada masa yang sama dapat menambah pendapatan sampingan,” katanya.

Katanya, komuniti itu turut mempunyai perancangan membuka kafe berkonsepkan garaj untuk pemilik dan peminat skuter luangkan masa.

“Kami merancang membuka kafe-garaj iaitu tempat lepak untuk minum dan makan tapi pada masa yang sama pemilik boleh selenggara skuter mereka di sini.

“Bagi aktiviti konvoi pula, kami merancang ke Pulau Langkawi menaiki skuter sebagai penanda aras baru konvoi terjauh kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 12:00 AM