TAN bersama koleksi figura dan kereta mainan Batman kepunyaannya.
TAN membelek koleksi mainan miliknya yang disimpan rapi di dalam rak
KOLEKSI mainan Batman kepunyaaan Tan.
KOLEKSI mainan Batman kepunyaaan Tan.
KOLEKSI mainan Batman kepunyaaan Tan.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Karakter Batman cukup sinonim dengan kanak-kanak era 90-an dan sehingga kini ia masih menjadi antara adiwira kesukaan ramai termasuk jurutera dari Pulau Pinang, Tan Siew Aun.

Bagi Tan, Batman mempunyai karakter yang menarik dan disebabkan itu, rak di kediamannya dipenuhi mainan berkenaan yang dikumpul sejak usia 13 tahun.

Menurut Tan, mainan itu dibeli dengan wang simpanan sendiri termasuk koleksi pertama yang diperoleh selepas menerima gaji pertama hasil bekerja sambilan sebagai pembantu di kedai kopi ketika di tingkatan satu.

“Ayah meninggal dunia ketika saya berumur 16 tahun dan sejak pemergiannya, ibu bersendirian membesarkan saya dan adik- beradik dengan bekerja sebagai tukang jahit.

“Kerana tidak mahu menyusahkan ibu, saya bekerja sambilan dan selain mahu belajar berdikari, pekerjaan itu dilakukan demi mencari wang bagi membeli mainan kesukaan.

“Pernah juga saya berhenti mengumpul mainan berkenaan tetapi tidak lama kerana kembali aktif selepas tamat pengajian dan mendapat pekerjaan tetap,” katanya.

Tan berkata, sehingga kini, dia mengumpul 50 koleksi terdiri daripada figura dan kereta mainan Batman.

Katanya, semua mainan berkenaan disimpan rapi di tempat yang dikhaskan untuk mainan berkenaan.

“Sebahagian mainan berkenaan dibeli di portal beli-belah dalam talian iaitu eBay tetapi majoritinya ketika mengikuti trip urusan kerja di luar negara.

“Harga mainan itu berbeza mengikut jenis dan ada mencecah ribuan ringgit namun saya tetap membelinya mengikut bajet meskipun obses dengan hobi berkenaan,” katanya.

Menurut Tan, selain Batman, dia turut mengumpul mainan era 80-an dan 90-an yang lain seperti Power Rangers, Transformers dan legenda filem bela diri, Bruce Lee.

Bukan saja kerana hobi tetapi baginya, koleksi berkenaan mempunyai nilai sentimental dan mengimbas nostalgia ketika di bangku sekolah.

“Orang lain mungkin melihatnya sebagai patung dan robot mainan yang biasa tetapi sebagai pengumpul, kami melihatnya dari sudut berbeza. Bagi saya, bermain dengannya boleh menghilangkan tekanan selepas seharian bekerja.

“Sebab itu, sehingga kini saya masih mengumpul walaupun wang dilaburkan untuk hobi ini agak banyak dan dianggarkan mencecah RM50,000.

“Disebabkan hobi ini juga, saya sanggup mengikat perut ketika ke Jepun semata-mata untuk menggunakan wang yang ada bagi membeli mainan ,” katanya yang berkelulusan Sarjana Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 3:46 AM