Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Dulu, kain pelekat menjadi pilihan mereka yang ingin menunaikan solat di surau mahupun masjid namun trend kini beralih kepada seluar sarung pelekat potongan ‘slim fit’ sesuai untuk remaja gemarkan gaya hipster.

Bukan saja menampilkan ciri moden malah rekaan seluar di bawah jenama Ehfanibrahim itu amat selesa untuk pemakai lebih-lebih lagi ketika menunaikan solat Tarawih sepanjang Ramadan ini.

Pereka dan pengasasnya, Mohd Ehfan Ibrahim, 30, atau lebih mesra dengan panggilan Ehfan berkata, ilham menghasilkan rekaan seluar itu tercetus selepas melihat kecederungan remaja kini yang sukakan kelainan dalam berfesyen.

Ehfan berkata, selepas melihat kehendak pasaran, dia tekad menghasilkan rekaan seluar bercirikan hipster tetapi mengambil inspirasi daripada pakaian tradisi iaitu kain pelekat.

“Jarang kita lihat remaja kini menggayakan kain pelekat sebaliknya mereka lebih gemar memakai seluar termasuk ketika ke masjid.

“Sebab itu, saya hasilkan rekaaan ini dengan memfokuskan kepada remaja berperwatakan hipster yang menggemari saiz berukuran ‘slim fit’,” katanya yang juga pensyarah di Kolej Komuniti Kuala Terengganu.

Untuk keselesaan pemakai, Ehfan menggunakan getah di bahagian pinggang dan poket di bahagian kanan seluar.

“Getah memberi lebih keselesaan kepada pemakai untuk bergerak bebas manakala kegunaan poket untuk menyimpan barangan peribadi seperti telefon bimbit dan beg duit.

“Dengannya, rekaan itu nampak lebih praktikal dan kemas untuk pemakai sepanjang berada di masjid atau surau,” katanya.

Soal padanan pula, Ehfan berkata, seluar yang dihasilkannya itu bukan hanya sesuai dipadankan dengan kurta atau pakaian untuk ke acara keagamaan semata-mata.

Sebaliknya, pemakai boleh menyarung pakaian lain yang sesuai dipadankan bersama seluar berkenaan.

“Remaja kini lebih berani bereksperimen dengan fesyen jadi saya pasti tiada masalah untuk mereka memilih pakaian sesuai untuk dipadankan bersama seluar berkenaan dan sebenarnya ia tidak terhad kepada kurta saja.

“Sebaliknya, seluar itu juga sesuai digayakan dengan baju-T, kemeja atau apa jua ‘top’ untuk menghadiri acara kasual dan santai kerana rekaannya bercirikan moden dan fesyen mewah (high fashion),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 7:06 AM