PESERTA sukan ini melakukan tarian aerodance menggunakan alatan skyrunner.
PENGGIAT Skyrunner menunjukkan aksi lompatan.
PENGGIAT Skyrunner Malaysia.
PESERTA teruja menggunakan alatan Skyrunner.
ALATAN Skyrunner yang boleh menampung individu seberat 110 kilogram.
Fatin Farhana Japre
gen.y@hmetro.com.my


Kewujudan aktiviti lasak baru iaitu ‘powerbocking’ mula menjadi fenomena baru-baru ini dalam kalangan remaja bagi menangani masalah obesiti dan menjalani gaya hidup sihat.

Sejak sukan ini diperkenalkan pada 2017 oleh Persatuan Belia Dinamik Barat (PBDB) dengan kerjasama Pertubuhan Parlimen Belia Malaysia Negeri Sembilan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan (JBSNS) serta Persatuan Penggiat Skyrunner Malaysia, kini ia sudah mengumpul 55 peserta di Negeri Sembilan.

Meskipun dikategorikan sebagai aktiviti lasak, sukan berasaskan lompatan menggunakan alatan skyrunner antara sukan kecergasan yang menyeronokkan, santai dan pasti memberi kelainan buat mereka yang mahu menurunkan berat badan.

Lebih menarik, setiap ahli berumur 14 hingga 24 tahun berpeluang meraih anugerah emas, perak atau gangsa The Duke of Edinburgh International Award anjuran Kementerian Belia dan Sukan untuk mengiktiraf penyertaan peserta secara sukarela menerusi sukan ini.

Skyrunner secara asasnya adalah alatan berupa satu spring yang dikawal melalui tekanan dan hasilnya satu pergerakan menegak di atas tanah. Dengan pertambahan beban, pengecutan spring dan pembalikan pergerakan tekanan ketika spring ditekan akan dicapai.

Ini akan membantu tekanan semula jadi pada hujung tapak kaki untuk bertambah dan membolehkan pelari mencapai tahap lompatan yang optimum. Dengan kata lebih mudah, anda memang boleh terbang!

Memang adat sukan ekstrem, kemungkinan tercedera atau bahaya tidak dapat dielakkan. Oleh itu, prosedur keselamatan seperti pemakaian topi keledar, pelindung lutut dan siku diwajibkan bagi mengurangkan risiko kecederaan.

Pemegang emas The Duke of Edinburgh International Award, Hafizul Fadzli Ab Rahman, 22, berkata aktiviti powerbocking banyak mengubah dirinya menjadi insan yang lebih berdisiplin, menepati masa, tidak mudah berputus asa dan lebih mementingkan gaya hidup sihat.

“Saya tahu mengenai aktiviti ini menerusi Facebook dan tertarik untuk mencubanya. Kali pertama menggunakan alatan skyrunner, saya rasa kekok dan sering jatuh tetapi dalam tempoh seminggu sudah boleh berjalan serta melompat tanpa gentar.

“Masa lapang saya kini dimanfaat dengan aktiviti powerbocking di samping mendapat ramai rakan baru. Malah personaliti saya juga sudah berubah menjadi seorang yang menepati masa sejak dilatih oleh jurulatih Skyrunner Malaysia, Siti Nur Hajar Bahari.

“Jika diberi peluang untuk dijadikan salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), aktiviti ini bukan saja dapat diperkembangkan lagi malah mengurangkan masalah sosial dalam kalangan remaja,” kata anak ketiga daripada empat beradik ini.

Lain pula bagi Nurul Izzati Husna Razali, 17, yang membabitkan diri dalam sukan ini apabila mengetahui banyak peluang yang boleh dimanfaatkan pada masa akan datang.

‘Sekarang saya dalam proses mendapatkan anugerah emas The Duke of Edinburgh International Award dan mahu mencukupkan komponen khidmat masyarakat saya dalam masa terdekat.

‘Kelebihan menyertai sukan powerbocking ini ialah dapat mengurangkan berat badan dan mengisi masa lapang yang sebelum ini terbuang begitu saja. Saya juga menjadi individu yang lebih aktif, sihat, cergas dan berkeyakinan tinggi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Belia Dinamik Barat Zaharuddin Abd Majid berkata sukan powerbocking diharap menjadi satu tarikan baharu dan menarik minat remaja menyertai program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM).

“Sukan powerbocking sudah berada di 114 negara serata dunia dan ia amat terkenal dengan keunikannya dan kini kami berusaha mengembangkannya di negara ini.

“Tiada masalah mengenai had keupayaan, jantina dan umur, ia sesuai buat semua golongan. Ia boleh dimainkan oleh semua peringkat usia. Kanak-kanak seawal usia enam tahun dan dewasa dalam lingkungan usia 40-an juga turut menjadikan aktiviti bermain skyrunner sebagai hobi.

“Malah ia juga berkesan untuk menurunkan berat badan. Selama 30 minit sehari bermain skyrunner dalam masa sebulan mampu menurunkan berat badan sehingga tujuh kilogram,” katanya.

Layari laman sosial Facebook Skyrunner Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai sukan powerbocking dan alatan Skyrunner.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 12:27 PM