SYAMEEL
SYAMEEL bersama dekorasi dihasilkan syarikatnya.
SYAMEEL bersama rakan kongsi dan kakitangannya.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Keinginan menarik golongan muda ke masjid mendorong Mohamed Syameel Hazrif Mohd Hanapi, 25, mengusahakan perniagaan berasaskan dekoratif Islamik iaitu jualan hiasan dinding khat dan mihrab kaligrafi.

Mohamed Syameel berkata, perniagaan itu dijalankan sejak lebih setahun lalu dan semakin serius selepas dia terbabit dengan aktiviti amal mengecat sebuah sekolah di Shah Alam, Selangor.

Bermula dari situ, Syameel mengorak langkah dan kini turut menjalankan beberapa projek menaik taraf hiasan dalaman masjid.

“Saya dapati sebahagian masjid dan surau di negara ini kelihatan kosong tanpa hiasan dalaman, berbeza dengan luar negara yang sarat dengan dekorasi kaligrafi khat bercirikan Islamik.

“Keadaan itu mungkin berlaku disebabkan bajet terhad dan daripada situ, timbul idea untuk menawarkan khidmat naik taraf masjid dan surau dengan kos berpatutan.

“Sambutan diterima agak baik dan kini, semakin ramai dermawan dan pengurusan masjid yang mempercayai kemampuan syarikat saya, Boss Seven Eng Sdn Bhd dalam melakukan kerja naik taraf,” katanya yang memiliki galeri jualan, Kufi Store di Seksyen 16, Shah Alam.

Bercerita lanjut, Syameel berkata, selain pulangan dalam bentuk keuntungan, kepuasan sebenarnya adalah apabila dapat memberi wajah baru kepada masjid dan surau lebih-lebih lagi yang sudah lama tidak dinaik taraf.

Katanya, transformasi dilakukan bukan hanya menceriakan masjid dan surau malah dapat menjadi tarikan masyarakat untuk ke rumah Allah.

“Masjid mahupun surau bukanlah tempat beribadat semata-semata sebaliknya impian saya menjadikan ia dekat dengan masyarakat lebih-lebih lagi golongan muda.

“Untuk merealisasikannya, saya perlu memainkan peranan dengan menghasilkan hiasan dan dekorasi yang boleh menarik kehadiran orang ramai ,” katanya yang juga pemegang Diploma Perbankan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) .

Mohd Syameel berharap, perniagaan diusahakannya itu dapat mengubah persepsi negatif segelintir masyarakat terhadap remaja yang sering dikaitkan dengan aktiviti sia-sia.

Menurut Mohd Syameel, dia juga mahu apa yang dilakukannya itu memberi inspirasi kepada remaja lain untuk keluar dari zon selesa dan berani mencuba sesuatu yang baru.

“Tidak ramai orang muda menjalankan perniagaan sebegini dan sebab itu saya mahu menjadi perintis , mana tahu ia menjadi ikutan individu lain.

“Jika bukan kita, siapa lagi yang akan melakukannya malah menjadi sebahagian tanggungjawab saya sebagai Muslim untuk mengajak rakan sebaya mengimarahkan rumah Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 10:22 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »