PENUNTUT Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah UM melakukan kerja pembungkusan makanan.
MENGAGIHKAN makanan.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Ketika penuntut lain beristirahat dan mengulang kaji pelajaran pada waktu malam, penghuni Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah Universiti Malaya (UM) pula memilih cara lain untuk meluangkan masa iaitu dengan membantu gelandangan di sekitar ibu kota.

Kerja sukarela itu dilakukan mereka menerusi Projek Kaseh 4U pada setiap Selasa pada waktu malam dengan menjadikan Pusat Khidmat Gelandangan di Lorong Medan Tuanku 2 sebagai lokasi pengagihan bantuan.

Pengasasnya, Normaliza Mahadi berkata, kerjasama dengan penuntut UM itu bermula sejak November 2013 apabila membantu dalam kerja pembungkusan dan pengagihan makanan kepada penerima.

“ Pengagihan bantuan makanan ini dilakukan setiap Selasa (malam) dan alhamdulillah, ia masih diteruskan sejak empat tahun lalu hasil kerjasama dengan penuntut UM.

“Kira-kira 10 hingga 12 penuntut akan turut serta setiap minggu bagi membantu kerja pembungkusan dan pengagihan makanan yang disediakan hasil sumbangan dana daripada orang awam.

“Bagi pihak penganjur, kami berterima kasih kepada penuntut terbabit dan berharap program ini membantu mereka mendekatkan diri dengan komuniti kurang bernasib baik,” katanya.

Mohamad Fitri Zaqwan Salim, 20, berkata dia seronok kerana dapat mengambil bahagian dalam aktiviti berkenaan bersama rakan.

“Saya tahu mengenai kewujudan gelandangan namun hanya berpeluang melihat lebih dekat kehidupan mereka selepas turut serta dalam aktiviti ini.

“Bagi saya, ada sebab tersendiri mereka jadi begitu dan kita yang bernasib baik ini seharusnya prihatin dan memberi bantuan setakat termampu,” katanya.

Seorang lagi sukarelawan, Nur Halis Ramli, 20, berkata penyertaan dalam aktiviti amal berkenaan banyak mengajarnya erti bersyukur dan rasa hormat terhadap golongan kurang bernasib baik.

“Seronok rasanya dapat terbabit dalam aktiviti ini lebih-lebih lagi ketika Ramadan kerana inilah masanya untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang tidak bernasib baik.

“Walaupun sekadar membantu dalam kerja pembungkusan dan pengagihan, saya tetap gembira kerana menerusi aktiviti ini, saya lebih menyedari lebih ramai di luar sana yang lebih susah daripada kita,” katanya yang juga penuntut semester dua dalam jurusan Kejuruteraan Awam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 1:41 AM