MOHAMMAD Zafrie (kiri) dan Mohd Amin mula membuka Matagaji Studio pada awal 2015.
ANTARA hasil kerja Matagaji Studio.
KERJA tangan Matagaji halus dan teliti.
MATAGAJI diambil daripada perkataan ‘mata gergaji’.
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my

Menarik dan halus. Itulah gambaran kerja tangan dua anak muda yang giat menceburi bidang penghasilan perabot dan hiasan dalaman ini.

Lulusan bidang seni halus pengkhususan arca, Mohammad Zafrie Ahmad, 27, dan Mohd Amin Harun, 26, menghasilkan produk berasaskan bahan industri di bawah nama Matagaji Studio.

Menurut Mohammad Zafrie, Matagaji sentiasa yakin dengan penghasilan kerja mereka dan menawarkan pilihan bahan serta teknik tanpa had.

“Kami menghasilkan perabot dan hiasan dalaman tempahan khas jadi, segala permintaan dapat dipenuhi dan kami tidak menetapkan teknik atau jenis tertentu saja.

“Selain dapat meneroka teknik dan kaedah baru, pilihan tanpa had juga dapat menunaikan impian pelanggan yang inginkan sesuatu yang berbeza, unik dan istimewa.

“Kami juga sentiasa pastikan kualiti dan kehalusan setiap produk yang dihasilkan selain meneroka peluang berkolaborasi untuk perniagaan baru seperti syarikat pembinaan dan mural,” katanya.

Katanya, reka bentuk yang dihasilkan adalah mengikut pilihan dan cita rasa pelanggan sendiri.

“Kebiasaannya, pelanggan yang datang sudah mempunyai gambar atau rujukan mereka dan daripada situ kami berbincang untuk realisasikan pilihan mereka,” katanya.

Mohammad Zafrie berkata, pilihan perabot seperti meja dan kerusi sering menjadi tumpuan ramai.

“Kebanyakan pelanggan inginkan meja dan kerusi dengan rekaan unik, tersendiri dan permintaan itu meningkat apabila musim perayaan.

“Namun jika musim perkahwinan pula, dulang hantaran adalah produk yang paling banyak kami hasilkan,” katanya.

Meninati bidang perniagaan sejak menuntut di universiti, Mohammad Zafrie berkata mereka banyak berbincang sebelum menubuhkan Matagaji Studio.

“Kami ceburi bidang ini selepas beberapa beberapa kali berbincang sejurus selepas tamat pengajian dan sejak bergelar penuntut kami sudah berhasrat memiliki perniagaan sendiri.

“Selepas tamat pengajian, kami lihat trend perabot dan hiasan kayu pain mendapat perhatian ramai dan di situlah titik mula Matagaji,” katanya.

Menurut Mohammad Zafrie, nama ‘Matagaji’ membawa maksud singkatan perkataan ‘mata gergaji’ yang merujuk pada alatan yang penting dalam penghasilan kerja kayu.

Baru berpindah ke bengkel baru sejak tiga bulan lalu, dua anak muda ini menyasarkan mengembangkan perniagaan mereka pada masa akan datang.

“Kami sasarkan untuk ambil pekerja dalam masa terdekat dan dengan ada pekerja sendiri kami dapat tumpukan pada penghasilan rekaan perabot tersendiri yang sarat nilai kesenian serta lebih halus.

“Dalam masa beberapa tahun akan datang kami merangka untuk kembangkan perniagaan dan memiliki kilang dan bilik pameran sendiri,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut boleh kunjungi Matagaji Studio di No 11, Jalan Istimewa, Kampung Batu Belah, Klang, Selangor atau berhubung melalui Instagram @matagajistudio.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 12:41 PM