TERUJA ketika berada bumi Jepun sewaktu Ramadan.
BERJALAN jalan di Hongdae.
BERTEDUH di dalam khemah sebelum mendapat tempat penginapan.
Mohamad Khairul Jamain
Gen.y@hmetro.com.my


Walaupun berada di bumi asing untuk hanya sekadar melihat keindahan suasana, ia tidak menghalang saya menunaikan ibadah berpuasa di Korea Selatan.

Bagi saya, ini kali pertama merasai pengalaman berpuasa di perantauan dan amat teruja untuk melalui Ramadan tahun ini dalam suasana berbeza.

Saya mengembara di Jepun selama tiga bulan dengan cara ‘hitchhiking’ atau menumpang kenderaan sesiapa saja untuk ke destinasi.

Walaupun kini berada di Busan, Korea Selatan beberapa minggu lalu, saya juga merasai suasana berpuasa di Jepun selama beberapa hari sebelum berlepas ke negara K-Pop itu.

Cabaran berpuasa

Ini pengalaman yang pertama berpuasa seorang diri di negara orang yang tiada saya ketahui selok-beloknya. Tempoh berpuasa di Jepun agak panjang iaitu selama 17 jam. Bersahur pada 2 pagi dan berbuka puasa 7 malam.

Menyentuh bab pemakanan, makanan halal memang tidak menjadi masalah di Jepun. Untuk pengetahuan semua terdapat banyak kedai halal di Jepun malah saya selalu memasak makanan yang dibeli di sebuah pusat beli-belah.

Walupun ada kemajuan penghantaran di Jepun hanya untuk memesan makanan berasaskan sejuk beku, saya nekad cuba masak makanan yang boleh ‚masuk tekak‘ iaitu masakan Melayu.

Pengalaman berbuka

Waktu berbuka, saya berasa nak menangis apabila dapat makan ayam masak kurma yang diberikan oleh seorang pengembara yang datang dari Malaysia ketika ditemui di lapangan terbang Busan.

Apabila dapat tahu saya sudah mengembara selama tiga bulan dan rindukan masakan Malaysia, mereka berikan saya beberapa tin makanan tanah air. Rasa terharu sangat pada waktu itu.

Sewaktu di hostel pula kebetulan ada seorang gadis Malaysia turut tinggal di situ jadi, kami masak masakan Melayu bersama-sama.

Pengalaman yang paling menyeronokkan apabila tuan punya hostel, Mr Kim turut ikut makan bersama sebab dia berkata masakan Malaysia sangat lazat. Walaupun ketika itu untuk berbuka saya hanya memasak nasi goreng, telur dadar, ikan bakar dan pisang goreng.

Di bumi asing itu, juadah ala kadar untuk berbuka adalah semangkuk mi segera.

Selesai misi berbasikal terlebih dahulu

Saya akan beraya di Korea disebabkan mahu selesaikan misi mengembara di seluruh negara itu dengan berbasikal.

Pada hari pertama berbasikal, selepas melihat beberapa beberapa tempat menarik di situ, saya meninggalkan bandar ini dengan kayuhan pendek.

Pertama kali dalam hidup saya berkayuh sejauh itu. Saya yang dahulunya bukan ‘ahli basikal’ yang tegar dan bukan juga ahli sukan aktif, tetapi saya nekad mengambil peluang melihat bumi Korea dengan cara ini.

Hakikatnya berbasikal di Korea tidaklah sukar. Dengan bantuan aplikasi Google Map saya tentukan laluan yang sesuai.

Saya juga cuba meminimumkan laluan berbukit dan lebih gemar memilih jalan yang melintasi kampung serta pekan kecil.

Selama berpeluang menjalani ibadah puasa di perantauan, ia tidak pernah mengundang rasa tak selesa atau kekesalan malah menganggap itu perkara yang perlu dilalui dengan gembira.

Perasaan teruja bercampur pertama kali sambut bekal raya di luar negara apabila terkenangkan keluarga dan kawan di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 11:59 AM