ANTARA komponen yang digunakan dalam pembuatan ROV.
MENDAPAT pingat perak serta sijil dalam program ITEX 2017, baru-baru ini.
FAKHRUR (dua dari kiri) bersama ahli kumpulan yang membantu pembuatan ROV.
Amri Mutalib
Gen.y@hmetro.com.my


Semakin ramai anak muda kini memberanikan diri mencipta produk luar biasa yang boleh dimanfaatkan masyarakat.

Istilah kreativiti dan inovasi menjadi tumpuan kerana kedua-duanya mempunyai implikasi yang besar terhadap aspek kehidupan manusia.

Dengan kreativiti dan inovasi, sebarang produk atau perkhidmatan yang ditawarkan membentuk keunikan serta berbeza daripada produk atau perkhidmatan yang sedia ada di pasaran.

Ia dibuktikan anak muda, Muhammad Fakhrur Razi Faizul, 21, yang berani mencipta produk ROV dikenali sebagai jentera robotik bawah air bagi proses pemantauan di dasar air.

Fakhrur berkata, jentera kawalan jauh itu boleh melihat dan meneliti kawasan dalam air dengan ketinggian lebih lima meter paras air.

Menurutnya, ROV yang dicipta mempunyai isyarat kawalan melalui kabel sepanjang 10 meter panjang sehingga membolehkan ia masuk ke dasar permukaan air untuk proses pemantauan, pengukuran dan aktiviti penyelidikan.

Inspirasi datang daripada seorang penyelam

Tercetus idea mereka bentuk jentera robotik selepas diberitahu rakan yang bekerja sebagai penyelam kerjanya hanya mencuci tangki.

“Dia memberitahu saya, jika jabatan bomba memberi kerja untuk mencuci tangki yang kotor, sukar untuknya bekerja seorang diri, di situ idea saya mula tercetus untuk mereka bentuk ROV,”katanya.

Fakhrur bersama ahli kumpulannya cuba melakukan tinjauan dan mengkaji masalah yang dihadapi bomba.

Melalui kajiannya, dia mencari jalan penyelesaian bagi memudahkan ahli bomba membersihkan tangki air yang dikatakan sentiasa keruh.

Bantu kebolehan penyelam

Ia menjadi inspirasi kepada masyarakat apabila jentera robotik yang diciptanya itu bertujuan menggantikan kebolehan penyelam yang terhad menyelam di dalam air.

“Manusia normal hanya boleh berada sedalam 30 kaki sebelum berdepan masalah deria seperti pendengaran dan penglihatan,”katanya.

“Apabila berada di bawah laut, penglihatan seseorang itu juga akan terganggu disebabkan tekanan air yang tinggi. Oleh itu, ROV direka bentuk kerana operasinya menggunakan alat kawalan jauh dan tidak membabitkan sebarang risiko,”katanya.

Baginya, jentera robotik sesuai digunakan kerana penyelidikannya dipantau secara langsung melalui sistem yang ada di dalam komputer riba.

Kos pembuatan rendah

Dahulunya ROV ini pernah dicipta tetapi kos untuk membeli terlalu mahal sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Walaupun menggunakan bahan yang mudah didapati seperti paip PVC, kamera, lampu LED dan span, jumlah kos yang dikeluarkan tidak melebihi RM350.

Anak muda lulusan Diploma Kejuruteraan Mekatronik itu berkata penghasilan jentera robotik ini memakan masa hanya tiga hari untuk disiapkan.

Sering bertanding dalam pameran inovasi

Anak kelahiran Kajang, Selangor ini berkata, produk yang dicipta sering dipertandingkan dan mendapat perhatian oleh masyarakat lebih-lebih lagi bagi mereka yang bekerja di perairan.

Melalui projek itu, Rov pernah merai pingat emas dalam pertandingan Mechanical Department Exhibition (MEDEX).

ROV yang dicipta juga pernah meraih pingat perak dalam pertandingan The International Invention, Innovation & Technology Exhibition 2017 (ITEX2017) yang berlangsung di KLCC, baru-baru ini.

Harapannya adalah supaya lebih banyak ROV tempatan dapat dihasilkan berikutan pasaran dan permintaannya amat meluas sehingga di peringkat global.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 4:06 AM