ANTARA peserta yang terbabit dalam program Selangkah ke Pro 2017.
MAJLIS Apresiasi Sukan dan Kebudayaan turut diadakan bagi menghargai jasa penuntut yang mengharumkan nama DENSA.
PENSYARAH turut hadir berkongsi tip dan informasi kepada penuntut yang bakal menduduki peperiksaan profesional pada Julai akan datang.
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my

Kesibukan rutin kuliah seharian tidak menghalang anak muda di Dental’s Student Association (DENSA) dari Fakulti Pergigian, Universiti Teknologi MARA kampus Sungai Buloh, Selangor mengisi masa lapang dengan pelbagai program hujung minggu bagi menguatkan rohani dan jasmani sempena Ramadan kali ini.

Penasihat DENSA Norhayati Liaqat Ali Khan berkata, jadual pembelajaran dan pengajaran padat setiap hari tidak menjadi halangan bagi komuniti itu menjalankan program bermanfaat selain dapat mengeratkan ukhuwah.

“Bagi memastikan Ramadan 2017 ‘hidup’ dan ‘bercahaya’, DENSA menganjurkan tiga aktiviti utama iaitu program Selangkah ke Pro 2017 (SKP 2017), Majlis Apresiasi Sukan dan Kebudayaan serta majlis berbuka puasa, solat Hajat dan Tarawih,” katanya.

Program SKP 2017 adalah acara tahunan dianjurkan DENSA dan disertai 189 penuntut terdiri daripada penuntut tahun dua, tiga dan lima Fakulti Pergigian UiTM yang bakal menghadapi peperiksaan profesional pada Julai nanti.

Menurut pengarah program Aiman Zairuddin, sedikit kelainan ditampilkan dalam penganjuran program kali ini.

“Tahun ini sedikit berbeza kerana pengisian skop utama program lebih menjurus kepada membantu penuntut dari segi teknik menjawab soalan peperiksaan, mengenal pasti kesalahan yang sering dilakukan semasa menjawab soalan dan tip bermanfaat persediaan menuju alam peperiksaan profesional.

“Pensyarah berpengalaman dari fakulti ini sendiri juga turun padang dan meluangkan masa berkongsi ilmu mengikut kepakaran masing-masing,” katanya.

Penganjuran Majlis Apresiasi Sukan dan Kebudayaan turut diselitkan dalam jadual program selari dengan moto DENSA iaitu ‘Akademik perlu seiring dengan kokurikulum’.

Majlis berkenaan diadakan bagi meraikan penuntut yang terbabit secara aktif dan mengharumkan nama Fakulti Pergigian dalam bidang sukan serta kesenian.

Majlis dirasmikan Dekan Fakulti Pergigian Prof Dr Mohamed Ibrahim Abu Hassan turut disertai Penolong Naib Canselor (PNC) UiTM kampus Sungai Buloh Datuk Dr Abu Bakar Abdul Majeed dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pergigian Datin Dr Mahyunah Masud.

Bagi mengimarahkan dan melengkapkan ibadah pada Ramadan ini, DENSA turut menganjurkan majlis berbuka puasa.

Majlis berkenaan disempurnakan dengan solat Maghrib, solat Hajat berjemaah, tahlil ringkas dan diakhiri dengan solat Isyak serta Tarawih.

Menariknya, program dianjurkan bukan saja bermanfaat tapi turut mempamerkan kerjasama dan semangat dari semua penuntut yang mengambil bahagian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 3:27 AM