Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Saiz badan memainkan peranan penting dalam pemilihan pakaian dan kebiasaannya, pilihan lebih banyak untuk mereka yang bertubuh kecil.

Keadaan itu akhirnya memberi masalah kepada mereka yang bertubuh gempal dan besar lebih-lebih lagi menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Benar, mereka boleh menempah pakaian lebih awal dengan tukang jahit namun ada antaranya yang tidak sempat berbuat demikian kerana kesuntukan masa.

Menyedari masalah itu, pereka Effie Norsabrina Md Yusof tampil mengeluarkan rekaan pakaian yang khusus untuk mereka yang bertubuh besar atau ‘plus size’.

“Saya pernah mempunyai badan besar satu ketika dulu dan faham benar dengan masalah mereka setiap kali mahu mencari pakaian.

“Jika ada sekalipun, pilihannya agak terhad dan corak juga tidak sesuai. Jadi bermula dari situ, timbul idea menghasilkan rekaan khusus untuk gadis bersaiz gempal serta besar.

“Dengan adanya rekaan itu, dapatlah mereka bergaya seperti gadis lain pada lebaran nanti dengan busana yang cantik lagi bersesuaian,” katanya yang menghasilkan pakaian berukuran dua hingga 10XL.

Effie berkata, selain potongan, beberapa perkara lain perlu diambil kira bagi memastikan busana dihasilkan menyerlahkan imej pemakai.

Antaranya termasuk dari segi warna, corak dan paling penting material kain yang digunakan untuk busana berkenaan.

“Corak, warna dan material kain adalah tiga elemen penting dalam penghasilan busana gadis bersaiz gempal kerana jika tersilap mereka akan kelihatan lebih besar berbanding saiz badan sebenar.

“Disebabkan itu, saya cukup teliti dengan memilih rona pastel gelap dan sedikit warna terang berserta potongan hip pada bahagian pinggang untuk menyerlahkan ilusi langsing pada tubuh pemakai.

“Corak pula masih mengekalkan rekaan trendy sesuai untuk remaja namun ada juga busana bermotifkan polka dot, sesuai bagi mereka yang menggemari sentuhan retro manakala kain lycra berkualiti tinggi digunakan sebagai material pembuatan busana berkenaan,” katanya.

Lebih istimewa, Effie berkata, selain kurung moden, dia turut menghasilkan rekaan lain bagi memberi pilihan kepada pemakai sempena lebaran ini.

“Antaranya termasuk kurung kedah, peplum dan kebaya kaftan, sesuai untuk mereka yang bertubuh besar.

“Saya berharap, pilihan lebih banyak itu meningkatkan keyakinan gadis ‘plus size’ untuk tampil berkeyakinan pada Aidilfitri nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 11:47 PM