MASIH relevan, jadi pilihan remaja hipster.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Dunia fesyen ibarat roda jadi tidak hairanlah jika gaya era 90-an kembali mendapat perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah, fesyen itu yang mendapat jolokan hipster pada masa kini menjadi pilihan ramai termasuk remaja sekali gus membuktikan ia masih relavan dan tidak lapuk dek zaman.

Cuma segelintir tidak tahu, jadi mari kita imbas semula beberapa fesyen 90-an yang kembali trendy dan boleh menjadi inspirasi untuk gaya harian anda:

BAJU ‘OVERSIZE

Kemeja atau jaket jenis ‘oversize’ semakin menjadi pilihan remaja masa kini tidak kira lelaki ataupun perempuan.

Selalunya, pakaian sebegini dipakai bersama seluar potongan ‘skinny’ bersama sniker.

Selain selesa, pakaian oversize ini juga ada kelebihannya kerana mampu menutup lemak di bahagian perut.

OVERALL

Pakaian ini cukup popular terutama dalam kalangan kanak-kanak era 90-an dan pasti ada di antara anda yang mempunyai kenangan memakainya.

Kini, overall kembali menjadi trend dan cukup ‘cool’ jika digayakan bersama baju- T kolar bulat atau berkolar di bahagian dalam.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan pemakainya akan nampak lebih muda berbanding usia!

CROP TOPS

Jangan salah sangka, crop tops atau baju senteng ini bukanlah fesyen terkini sebaliknya ia sudah digayakan gadis pada era 90-an lagi.

Cuma, ia kembali trendy kini dek kerana kuatnya penangan dan pengaruh fesyen era itu.

Namun, baju ini lebih sesuai untuk gadis yang berani dan langsing kerana mendedahkan bahagian perut.

JAKET BOMBER

Boleh dikatakan, jaket ini antara koleksi wajib dalam ‘gerobok’ baju remaja masa kini.

Meskipun cuaca panas, ramai sanggup memakainya bersama dengan baju-T di bahagian dalam.

Namun, jangan silap kerana jaket ini bukannya fesyen terkini sebaliknya sudah popular sejak zaman Perang Dunia Kedua sebelum semakin terkenal pada era 90-an.

BUT

But kini cukup praktikal jika tidak mana mungkin menjadi trend remaja masa kini lebih-lebih lagi dari jenama Dr Martens.

Pendek kata, ia boleh digayakan dengan apa jua pakaian sekalipun termasuk persalinan formal.

Cuma, ia agak berat dan tidak sesuai untuk berjalan jauh melainkan mereka yang sanggup demi mendapatkan swafoto OOTD (Outfit Of The Day).

TURTLE NECK

Pakaian era 90-an ini cukup sesuai untuk gadis hijabista yang ingin tampil bergaya kerana ia menutupi bahagian leher.

Namun, lelaki juga sesuai menggayakan pakaian ini yang boleh dipadankan dengan jaket atau blazer di bahagian luar.

Semuanya bergantung pada kebijaksanaan anda untuk menyuai padan kerana apa yang lebih penting adalah keselesaan!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 10:10 AM