BEBERAPA ‘game’ percuma wajar dimuat turun di Playstation Store untuk bulan ini.
Hazril Md Nor
gen.y@hmetro.com.my


Bagi pelanggan Playstation Plus, anda pasti menanti khabar gembira setiap bulan kerana terdapat permainan percuma yang boleh dimuat turun di Playstation Store.

Bagi Oktober, beberapa game menarik boleh dimainkan secara percuma dan sudah tentu berbaloi didapatkan atas faktor populariti dan keunikan genre permainan berkenaan.

1. Metal Gear Solid 5: The Phantom Pain

Bertaraf blokbuster, permainan video ini sememangnya wajar berada dalam koleksi anda. Ini kerana ia karya teragung Hideo Kojima yang terakhir bersama Konami.

Keunikannya terletak pada genre ‘stealth’ dan aksi malah dilabel sebagai francais permainan video terbaik sepanjang zaman.

Dalam siri yang penuh letupan bom dan senjata canggih ini, ikuti kembara Punished ‘Venom’ Snake dalam usaha membalas dendam kepada pihak yang pernah menganiaya dirinya pada keluaran terdahulu.

2. The Amnesia Collection

Bagi penggemar genre kebiasaan iaitu seram, anda pastinya berminat dengan siri Amnesia ini. Koleksi itu termasuk keluaran lain siri ini iaitu A Machine For Pigs.

Mengapa ia berbaloi? Amnesia dikenali dengan atmosfera yang menyeramkan dan ketiadaan senjata sekali gus membayang­kan diri anda benar-benar berada dalam permainan berkenaan.

Malah, ketika ia mula diperkenalkan pada 2010 lalu, keba­nyakan personaliti YouTube, amatur dan popular tidak ketinggalan menyiarkan sesi permainan mereka. Tidak kurang juga yang menayangkan pelbagai reaksi terkejut dengan menyifatkan permainan itu yang terlalu seram.

Jika anda seorang yang tidak gentar elemen kejutan, apa kata cuba ketiga-tiga permainan ini yang boleh dimuat turun segera. Mana tahu, ia mampu mengubah persepsi kamu terhadap genre seram.

3. Hue dan Sky Force Anniversary

Meskipun kurang membawa aura yang sama seperti dua ‘game’ di atas, Hue dan Sky Force Anniversary berbaloi didapatkan kerana turut boleh dimainkan di Playstation Vita dengan sokongan ‘cross platform’.

Pengguna PSVR pula boleh menikmati permainan percuma RIGS. Kamu mengawal robot besar untuk bertanding dalam perlawanan profesional pada 50 tahun akan datang.

Terdapat empat jenis robot (Rig) masing-masing membawa nama Sentinel, Hunter, Mirage dan Tempest dengan keunikan tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 4:48 AM