Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Hujung minggu sudah tiba dan jika tidak berehat di rumah, pasti ada saja perancangan untuk beriadah atau bersantai di luar, bukan?

Namun, ada ketikanya kita buntu hendak memilih pakaian perlu dipakai walaupun sekadar ke pusat beli-belah untuk menonton wayang.

Tidak semua mempunyai masalah ini kerana ia selalunya berlaku kepada mereka yang terlalu meniktikberatkan penampilan tidak kira lelaki mahupun perempuan.

Sebagai penyelesaian, Gen Y kongsikan lima gaya ideal yang boleh dijadikan pilihan ketika keluar pada hujung minggu:

Kasual

Kelihatan agak malas namun gaya ini paling mudah digayakan ketika keluar bersama teman pada hujung minggu.

Malah, ia sesuai bagi mereka yang gemarkan gaya ringkas tetapi selesa kerana memadai dengan menyarungkan baju-T berkolar atau kemeja bersama denim.

Alternatif lain adalah seluar pendek dan padankan bersama sniker kegemaran anda!

Feminin

Si gadis yang gemarkan gaya feminin boleh memakai gaun pendek dengan padanan aksesori minimalis seperti rantai dan anting-anting.

Jika tidak gemar memakai gaun pendek, baju-T bersama skirt pendek adalah alternatif untuk tampil feminin tetapi masih mengekalkan imej remaja.

Kasut bergantung dengan keselesaan masing-masing sama ada jenis bertumit atau tapak rata kerana kedua-duanya sesuai untuk keluar bersantai.

Gaya jalanan

Jaket bomber atau kulit, seluar denim koyak, celana sendat dan legging cukup praktikal untuk digayakan ketika keluar bersantai pada hujung minggu lebih-lebih lagi golongan muda.

Malah, fesyen ini membolehkan anda bermain dengan warna dan tidak terhad kepada warna klise seperti hitam atau putih semata-mata.

Untuk kelihatan lebih ‘swag’, jadikan topi sebagai aksesori tambahan untuk menyerikan penampilan anda!

Ala ‘sporty’

Baju-T dengan padanan seluar ‘jogger’ seakan-akan menjadi trend remaja masa kini untuk kelihatan ‘sporty’ ketika keluar bersantai.

Mungkin kerana ia selesa dipakai lebih-lebih lagi ketika keluar pada hari yang panas.

Ia juga alternatif untuk anda tampil bergaya pada hujung minggu tanpa kelihatan membosankan!

Hijabista

Tampil berhijab bukan alasan untuk anda mengehadkan penampilan kerana pelbagai gaya boleh disesuaikan supaya kelihatan bergaya dan moden bersesuaian dengan imej remaja.

Antaranya adalah ‘overall’ atau ‘jumpsuit’ bersama kemeja dan baju-T lengan panjang di bahagian dalam.

Kardigan bersama seluar palazo atau denim juga sesuai dengan syarat ia tidak terlalu ketat, sesuai dengan imej anda yang berhijab.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 12:00 AM