ANAK muda kelahiran Tennessee ini mula membuka perniagaan tali leher kupu-kupu ketika berusia sembilan tahun.
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my

Anak muda ini bukan saja mengembalikan semula trend pemakaian tali leher kupu-kupu tapi berjaya menempa nama dalam dunia fesyen.

Pada usia yang masih muda dan mentah, Moziah Bridges, 16, sudah bergelar jutawan menerusi perniagaan tali leher kupu-kupunya dengan label Mo’s.

Anak muda kelahiran Tennessee, Amerika Syarikat ini mula memperkenalkan perniagaannya itu ketika berusia sembilan tahun.

Mementingkan penampilan dan pemakaian, Moziah mendapat inspirasi selepas sukar menemui tali leher kupu-kupu yang menepati cita rasanya.

Moziah juga bertuah kerana neneknya pakar menjahit dan sering menghasilkan tali leher kupu-kupu untuknya.

Moziah memilih sendiri corak untuk produk keluarannya dan agak cerewet mengenai rekaannya. Dia mahukan tali leher kupu-kupu yang unik, moden, segar dan boleh menampilkan kelainan kepada pemakainya.

Reka bentuk dan jenis tali leher kupu-kupu yang ditawarkan merangkumi bintik polka, jalur dan bertemakan kumpulan sukan.

Moziah juga gemar bereksperimen dengan pelbagai jenis fabrik bagi menawarkan rekaan dan gaya yang terbaik bagi label Mo’s.

Selain memfokuskan pada keuntungan, Moziah turut mencipta produk bagi meraih dana untuk kerja amal.

Hasil jualan produk diberi nama ‘Go Mo’ itu disalurkan untuk membiayai kos kanak-kanak untuk pergi ke kem musim panas.


PELBAGAI jenis rekaan dan gaya yang diketengahkan sesuai memenuhi cita rasa penggemar tali leher itu.

Kini, Moziah dalam perancangan mengembangkan empayar perniagaannya dalam dunia fesyen.

Katanya, dia dapat membayangkan label Mo’s pada rangkaian tali leher dan mula pelbagai aksesori untuk lelaki yang lain.

Selain itu, Moziah turut merangka memperkenalkan koleksi pakaian kanak-kanak pada masa hadapan.

Terbaru, Moziah berjaya mengikat kontrak dengan pasukan NBA dengan mereka tali leher kupu-kupu untuk pasukan berkenaan. Tentunya ia sesuatu yang mengujakan kerana diberi kepercayaan melengkapkan penampilan ahli pasukan terkemuka dunia itu.

Ketika ditanya, Moziah tidak menganggap usianya terlalu muda untuk memiliki empayar perniagaan dalam dunia fesyen.

Moziah berkata, ibunya, Tramica Morris, sentiasa memberi dorongan untuk dia mengejar impiannya walaupun masih muda.

Katanya, dia turut terinspirasi dengan kejayaan Ralph Lauren yang menjual tali leher ketika berusia 10 tahun.

Moziah juga mahu jadi terkenal dan terkemuka seperti Ralph Lauren dan terus menguruskan empayar perniagaannya sehingga tua.

Malah anak muda ini turut menanam impian mengembangkan perniagaannya ke peringkat global dan dikenali di seluruh pelosok dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 12:47 PM