Shuhada Mansor
gen.y@hmetro.com.my

Rutin yang sibuk, kurang bersenam, tidak cukup rehat, terdedah kepada pencemaran persekitaran dan penggunaan solekan setiap hari antara faktor yang membuatkan wajah kita cepat kusam dan kelihatan lebih tua daripada usia sebenar.

Keadaan ini berlaku jika tubuh tidak mendapat khasiat yang diperlukan kerana kurangnya pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Kajian dilakukan Kementerian Kesihatan menunjukkan pengambilan serat yang mencukupi melalui sayur-sayuran dan buah-buahan boleh menyelamatkan sehingga 2.7 juta nyawa atau mengurangkan beban penyakit di seluruh dunia sebanyak 1.8 peratus setahun. Hebat bukan?

Oleh itu, Gen Y ingin kongsikan kebaikan makanan berasaskan warna hijau (berdaun), cara penanaman yang dikaitkan dengan organik selain buah-buahan hijau.

Bantu turunkan berat badan

Sayur-sayuran hijau kaya dengan serat yang menjadikannya lambat untuk dihadam. Oleh itu, ia akan membantu untuk kita berasa kenyang dalam tempoh lebih lama.

Kelebihan utama sayur-sayuran hijau adalah rendah kalori dan dibuktikan sesuai dijadikan menu untuk membantu proses penurunan berat badan. Justeru, ada tip menyarankan salad lebih baik diambil pada waktu pagi dan bukannya pada waktu malam.

Cantikkan kulit

Buah-buahan hijau seperti epal sering menjadi pilihan mereka yang berdiet. Kandungan antioksidan tinggi dan juga berupaya membantu menurunkan kadar kolesterol, sekali gus mencegah kerosakan gigi, sakit gusi, menstabilkan paras gula dalam darah dan agen antikanser.

Selain itu, ada satu buah yang mudah ditemui iaitu kelapa. Bagi mereka yang mengalami jerawat ataupun masalah kulit, membilas muka dengan air kelapa boleh memperbaiki tona dan melembapkan kulit wajah.

Ribuan produk berasaskan kelapa dijual di pasaran. Terbukti, lemak kelapa atau MCT (Medium Chain Fatty Acid) lebih mudah untuk badan kita gunakan selain dikategorikan sebagai salah satu makanan paling kaya dengan asid laurik baik iaitu agen antivirus dan antibakteria.

Lebih tenang

Kajian kesihatan mendapati pengambilan salad pada waktu pagi mampu membantu minda dan emosi lebih tenang dan melapangkan fikiran untuk memulakan hari.

Daun salad mengandungi karoten, serat dan air yang dapat membantu melancarkan sistem pernafasan dan mengurangkan rasa dahaga.

Hebatnya tanaman hijau

Sering dikaitkan dengan tanaman hijau, makanan organik dihasilkan daripada tanaman yang ditanam tanpa racun perosak atau baja kimia. Walaupun harganya agak mahal tetapi ada pihak mengatakan ia lebih baik daripada sumber makanan yang ditanam dengan kaedah konvensional.

Cuba elakkan sumber makanan yang diubah secara genetik (GMO) iaitu DNA bahan makanan ini tidak lagi dalam susunan semula jadinya. Kaedah GMO direka untuk meningkatkan daya tahan tanaman supaya ia boleh mengeluarkan hasil yang lebih banyak. Bagaimanapun, banyak pertubuhan kesihatan masih mempertikaikan keselamatan mengambil makanan yang diubah genetiknya.

Dikhuatiri ia boleh menyebabkan alahan dan melemahkan sistem imunisasi. Jadi, jika ada bajet lebih, pilihlah makanan yang ditanam secara organik.

Memanglah rasa makanan organik tidak sama dan kurang sedap namun demi kehidupan lebih sihat, apa salahnya untuk cuba mengubah pola pemakanan seharian anda. Lebihkan warna hijau dan lebihkan senyuman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 1:06 AM