Hazril Md Nor
Gen.y@hmetro.com.my


Bayangkan anda ditempatkan di satu kawasan terpencil tanpa sebarang kelengkapan dan perlu berdepan cabaran berbahaya. Bukan itu saja, anda juga perlu mempertahankan karakter daripada orang lain yang mendarat di pulau yang sama dalam permainan mudah alih Rules of Survival (ROS).

Tiada kawan, tiada pertolongan dan paling menakutkan, tiada siapa yang anda boleh percaya. Kedengaran mendebarkan bukan? Itulah konsep utama ROS yang hampir menyamai ‘game’ fenomena, Player Unknown’s Battleground (PUBG).

Seperti ‘game’ yang bertemakan ‘survival’ lain, anda hanya perlu menghindari bahaya dan belajar untuk hidup selama mungkin di pulau itu dan menewaskan pemain lain yang cuba melenyapkan anda daripada permainan.

Permulaan

Rules of Survival bermula dengan menghantar karakter anda ke pulau itu dari kapal terbang menggunakan payung terjun. Bagaimanapun, anda bukan seorang diri, 120 lagi pemain melompat bersama-sama anda untuk mengharungi cabaran serupa.

Jangan berharap untuk mengenali mereka ataupun berkawan. Menambah kenalan hanya membantu permainan anda apabila ia dilakukan dalam mod duet dan cabaran berpasukan.

Semua pemain lain adalah musuh dan menjadi tugas anda untuk menewaskan sesiapa saja yang ditemui sebelum mereka membunuh karakter anda terlebih dahulu.

Duet & perlawanan berkumpulan

Semestinya seronok bermain bersama kawan seperti Counter Strike. Paling menarik, permainan ini boleh dimainkan dalam duo ataupun bersama sehingga empat rakan dalam mod pemain tunggal.

Caranya mudah, cari kawan baik atau memberi undangan kepada pemain dalam talian untuk menyertai skuad anda. Bagi penulis, lebih seronok bermain bersama rakan baik yang berada bersebelahan anda atas faktor komunikasi.

Barangan dan senjata

Paling penting dalam permainan ini ialah kelengkapan yang perlu dicari di merata tempat. Gunakan kebijaksanaan anda mencari senjata ini tanpa dijejaki pemain lain.

Kelengkapan lain seperti baju kalis peluru, kasut dan minuman tenaga misalnya diberikan untuk menguatkan karakter anda. Ada juga pelbagai jenis senjata disediakan. Pada mulanya, anda hanya boleh mengelak musuh sehinggalah anda memperoleh senjata.

Apa yang paling menarik, anda boleh mencuri senjata lawan yang dibunuh dan memandu kenderaan untuk bergerak ke pelbagai tempat dengan landskap berlainan.

Peta

ROS juga menyediakan peta kecil yang menggambarkan keseluruhan peta. Lihat lokasi terkini, kawasan merah dan rencanakan strategi anda mengikut analisis pada peta itu.

Pada pandangan penulis, anda perlu ke kawasan yang kurang bahaya dan kumpulkan senjata serta aksesori sebanyak mungkin sebelum ke tempat di mana pemain lain bertarung.

Butang kawalan & grafik

Sangat mudah untuk mengawal karakter dalam ‘game’ ini dan ia lebih baik berbanding mana-mana permainan dengan konsep sama. Ia sememangnya dioptimumkan untuk telefon pintar dan memberikan pilihan kepada anda untuk mengubahnya.

Di ‘setting’, anda boleh memilih tiga jenis butang kawalan iaitu Classic Mode, Advance Mode dan Touch Screen Mode. Jadi ia bergantung kepada cara permainan dan keselesaan anda sepenuhnya.

Grafiknya juga memukau dan tidak terlalu serabut dengan objek serta butiran lain di skrin anda.

Secara keseluruhannya, Rules of Survival membawakan mekanik permainan berkonsepkan ‘survival’ yang menarik. Ia boleh dimuat turun di Google Play Store bagi pengguna Android dan Apple iTunes bagi pengguna iOS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 2:57 AM