SAHAR Tabar dikritik netizen sejurus memuat naik gambarnya selepas melakukan transformasi.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Meminati sesuatu bukanlah perkara negatif namun ia boleh jadi sebaliknya jika keterlaluan atau dalam erti kata lain obses.

Dalam hal ini penting untuk berpada-pada supaya tindakan anda tidak akan memakan diri hanya disebabkan obses terhadap sesuatu.

Menyentuh soal itu, banyak perkara yang boleh menjadikan seseorang itu obses antaranya rasa minat terhadap selebriti atau kecenderungan mengumpul barangan tertentu.

Namun terdapat juga individu yang obses terhadap kecantikan hingga sanggup membelanjakan sejumlah wang bagi melakukan pembedahan plastik.

Bunyinya agak menakutkan namun itulah realiti golongan yang mahukan kesempurnaan wajah dengan cara cepat.

Banyak lagi kes berkaitan obses dan antaranya seperti berikut:

Jual maruah demi telefon pintar

Kegilaan terhadap telefon pintar mendorong remaja di China menawarkan khidmat ‘jual dara’ (seks) kepada mana-mana lelaki yang berminat.

Bagi mendapatkan pelanggan, mereka mengiklankan perkhidmatan itu di laman sosial.

Menurut portal Next Shark, kebanyakan remaja yang memuat naik iklan adalah golongan pelajar dan mereka sanggup bermalam dengan lelaki demi mendapatkan telefon pintar canggih.

Lakukan 50 pembedahan demi Angelina Jolie

Disebabkan obses terhadap pelakon Angelina Jolie, Sahar Tabar, gadis dari Iran sanggup melakukan hampir 50 pembedahan plastik selain dilaporkan berdiet untuk mendapatkan tubuh persis bintang Tomb Rider itu.

Namun tindakannya memuat naik gambar di Instagram menimbulkan reaksi negatif daripada netizen yang rata-ratanya mengecam transformasi gadis berkenaan.

Malah, ada juga mendakwa gambar yang dimuat naik Sahar hanya disunting selain menuduh gadis berkenaan menggunakan alat solek atau prostetik.

10 jam swafoto

Danny Bowman, remaja dari London terlalu taasub berswafoto sehingga sanggup menghabiskan masa 10 jam sehari untuk mengambil hampir 200 keping gambar dirinya menggunakan telefon pintar.

Dia juga sanggup berhenti sekolah dan tidak keluar rumah selama enam bulan untuk menurunkan berat badan sebanyak 12 kilogram untuk kelihatan sempurna dalam gambar.

Bagi melepaskan diri daripada sikap negatif itu, Danny pernah mengambil dadah berlebihan sebagai cubaan membunuh diri namun diselamatkan ibunya, Penny.


DANNY Bowman menghabiskan 10 jam sehari untuk mendapatkan hasil swafoto sempurna.

Sado ala tangan Popeye

Jika remaja lain ke pusat gimnasium untuk membina otot, lain pula dengan peminat sukan bina badan dari Russia, Kirill Tereshin yang menyuntik kedua-dua belah tangannya dengan beberapa liter minyak sintetik dikenali sebagai ‘synthol’.

Bermula dengan menyuntik dalam kuantiti yang sedikit, Tereshin kemudian menyuntiknya lebih kerap untuk mendapatkan hasil yang diinginkan.

Namun masalah lain timbul apabila otot tangannya menjadi terlalu besar hingga tidak sesuai dengan saiz badan dan walaupun dikritik pengikut di laman sosial, Tereshin mendakwa tidak akan berhenti melakukannya serta berharap untuk memecahkan beberapa rekod bina badan suatu hari nanti.


TANGAN Tereshin kelihatan seperti Popeye selepas menyuntik minyak sintetik.

RM110,000 untuk jadi klon David Beckham

Keinginan memiliki rupa persis pemain bola sepak tersohor, David Beckham mendorong jejaka berasal dari Nottingham, Jack Johnson membelanjakan lebih RM110,000 atau 20,000 pound untuk kelihatan seperti idolanya.

Remaja berkenaan juga sanggup membuat pinjaman bank bagi melakukan pembedahan selain suntikan dan rawatan untuk memenuhi impiannya itu.

Namun Jack dalam laporan Mirro.uk baru-baru ini mengakui kesal dengan tindakannya dan tampil memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mengikut jejak langkahnya yang hampir kehilangan nyawa hanya kerana mahu kelihatan seperti Beckham.


JACK Johnson membelanjakan RM110,000 untuk kelihatan seperti idolanya, David Beckham.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 12:44 AM