GADIS muda ini bukan saja berjaya mencipta inovasi mesra alam yang bantu petani meningkatkan hasil tanaman secara jimat.
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my

Ketika berusia 16 tahun, gadis muda ini sudah berjaya mencipta inovasi yang memberi impak dalam dunia pertanian.

Menetap di Afrika Selatan, isu kekurangan pengeluaran hasil tanaman adalah sinonim bagi anak gadis ini.

Bagi Kiara Nirghin, 18, perkara itu menjadi titik mula untuk membantu petani dan secara tidak langsung memperbaiki jumlah pengeluaran makanan dan pada masa sama mengelak masalah kekurangan makanan.

Semuanya bermula dari dapur rumahnya sendiri. Saintis muda itu mencipta ‚polimer penyerap super‘ atau ‚SAP‘ yang mampu mengekalkan kuantiti air yang tinggi apabila ditabur di atas tanah.

Menariknya, anak muda kelahiran India ini mahu menyediakan SAP yang mesra alam dan lebih murah berbanding pilihan tradisional yang mengandungi bahan kimia seperti asid akrilik.

Kiara berbalik kepada alam semula jadi iaitu menggunakan kulit buah oren dan avokado.

Hasil kajian Kiara mendapati bahan berkenaan mampu dijadikan SAP apabila didedahkan pada sinaran ultra ungu (UV) dan haba dengan jumlah tertentu.

Eksperimen gadis muda ini memenangi kepujian di Google Science Fair 2016.

Gadis yang menetap di Afrika Selatan itu turut berjaya meraih biasiswa tahunan bernilai RM200,000.

Kajian diberi nama ‘No More Thirsty Crops’ itu bertujuan mengatasi masalah kesuburan ketika musim kemarau yang membimbangkan di Afrika Selatan.

Inspirasi untuk membantu hasil tanaman dan petani di musim kemarau tercetus ketika Kiara dan keluarga melawat ke kawasan KwaZulu-Natal, Afrika Selatan.

Dia terkejut apabila melihat kawasan empangan yang biasanya dipenuhi air menjadi kering kontang dan kejadian itu antara kesan kemarau terburuk yang pernah dilihatnya.

Melalui pemerhatiannya itu, Kiara turut dapat menyelami kesan buruk kemarau khususnya terhadap pengeluaran sumber makanan dan air, dua keperluan utama manusia.

Menurut Kiara, SAP konvensional tidak dapat melalui proses biodegrasi selain mahal dan penuh dengan pelbagai jenis bahan kimia seperti asid akrilik.

Ketika menjalankan kajian mendalam mengenai topik berkenaan, Kiara mendapati polimer asli boleh terkandung dalam kebanyakan buah-buahan sitrus.

Selepas 45 hari melakukan pelbagai uji kaji, Kiara berjaya mencipta SAP kos rendah diperbuat daripada bahan buangan kilang jus.

SAP yang boleh terurai ini juga mesra alam dan mampu memerangkap sejumlah besar air menyebabkan tanah kekal lembap dan memperbaiki pertumbuhan tanaman dengan jumlah air yang sama.

Menariknya lagi, sumber yang digunakan bagi menghasilkan SAP diperbuat daripada campuran kulit oren ini hanyalah tenaga elektrik tanpa sebarang alatan istimewa.

Selain memperbaiki jumlah pengeluaran dan kualiti tanaman, hasil kajian anak muda ini juga memberi impak dalam dunia pertanian kerana mengurangkan kos kepada petani dan pengusaha tanaman.

Ciptaan Kiara dijual sekitar RM120 hingga RM240 secara runcit bagi setiap metrik tan berbanding lebih RM8,000 untuk SAP.

Saintis muda ini juga yakin hasil campurannya itu mampu membantu petani khususnya di kawasan yang terjejas akibat kemarau meningkatkan jumlah pengeluaran sebanyak 73 peratus.

Dilantik sebagai duta Worldwide Fund for Nature, Kira turut aktif mempromosikan kepentingan menjaga alam sekitar menerusi inovasi.

Pada penghujung 2018, Kiara bercadang untuk mengaplikasikan penggunaan SAP bagi komunitinya di Afrika Selatan dan meneroka pelbagai penyelesaian lain dan mencipta inovasi baru dalam dunia pertanian.

Kiara turut mengembangkan kaedah untuk menggunakan polimer untuk menapis air dan mengatasi masalah keperluan air bersih di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 5:25 AM