MUHAMMAD Syafiq gemar menyanyi dan mencipta lagu patriotik.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Genre muzik moden mungkin diminati kebanyakan anak muda masa kini namun berbeza dengan Muhammad Syafiq Farhan Boo Omar Boo yang lebih cenderung pada lagu patriotik.

Pemuda berasal dari Sungai Petani, Kedah ini berkata, sejak kecil dia menggemari lagu patriotik dan minat itu mendorongnya mencipta karya sulung ketika menuntut di universiti.

Menurut Muhammad Syafiq, lagu berjudul Sejuta Cinta itu asalnya dicipta untuk tugasan bagi subjek kenegaraan tetapi rezeki berpihak kepadanya apabila muncul johan keseluruhan bagi Projek Video Malaysia (PROVIM) 2016 anjuran Media Prima.

“Saya dilahirkan pada 16 September yang juga Hari Malaysia dan mungkin sebab itu, semangat patriotik dalam diri amat menebal.

“Bagi saya, lagu patriotik mempunyai keistimewaan tersendiri jadi bagi mencabar kebolehan diri, saya cuba mencipta karya sendiri dengan khidmat nasihat dan bantuan gubahan muzik oleh komposer profesional yang juga felo Kolej Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Khairul Daniel atau lebih dikenali sebagai KD.

“Alhamdulillah, perubahan sulung saya itu berhasil apabila mendapat 66,000 tontonan sejak dimuat naik di YouTube pada 2016,” katanya.


MUHAMMAD Syafiq mahu menghasilkan lebih banyak lagu patriotik.

Menurut Muhammad Syafiq, karya sulung ciptaannya itu memberinya semangat membuka produksi sendiri pada tahun berikutnya tetapi dengan bajet yang terhad.

Menerusi produksi berkenaan, dia menghasilkan pula lagu patriotik kedua yang berjudul Generasi Negaraku.

“Generasi Negaraku saya dedikasikan khas untuk golongan muda dengan mesej supaya tidak gentar dan takut mengejar impian serta menyemai semangat patriotisme dalam kalangan mereka.

“Lagu itu lebih versatil, moden dan istimewa kerana dihasilkan dalam empat versi iaitu bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Iban.

“Bagi melakukan terjemahan, saya dapatkan bantuan rakan yang juga dengan penuntut serta alumni dari UPM, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Hasilnya, lagu mendapat tontonan umum 50,000 di Facebook,” katanya yang kini menyambung pengajian dalam Sarjana Pendidikan Sains Sukan di UPM.


MUHAMMAD Syafiq bersama rakannya.

Muhammad Syafiq berkata, dia akan terus dengan usahanya menghasilkan lagu patriotik yang lebih berkualiti dan boleh diterima rakyat Malaysia sebagai kesinambungan karya generasi terdahulu.

Katanya, dia turut berharap supaya diberi peluang berduet dengan idolanya iaitu Faizal Tahir menerusi nyanyian lagu patriotik pada masa akan datang.

“Sebagai anak Malaysia, saya rasa bertanggungjawab memberi sumbangan buat negara dan cara saya adalah menghasilkan lagu patriotik.

“Diharap ia menjadi ikutan generasi muda lain yang tentunya mempunyai banyak idea yang lebih kreatif untuk disumbangkan.

“Jika tidak dengan mencipta lagu, banyak lagi cara untuk menunjukkan rasa cinta dan sayang terhadap negara,” katanya.


SEDUTAN klip video lagu Generasi Negaraku ciptaan Muhammad Syafiq.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 12:34 PM