MUHAMMAD Ubai melihat aksi yang dilakukan muridnya.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Pengalaman 15 tahun sebagai pemain dan ketua jurulatih mendorong pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Muhamad Ubai Ghani ini berkongsi ilmu dengan generasi muda menerusi penubuhan Kelab Tomoi Buloh Gading pada Mei 2016.

Muhammad Ubai berkata, setakat ini, kelab itu dianggotai 300 ahli terdiri daripada kanak-kanak, remaja dan dewasa dari sekitar Subang, Sungai Buloh, Saujana Utama dan Puncak Alam, Selangor.

Menurut Muhammad Ubai, bagi menggalakkan penyertaan golongan muda, pihaknya tidak berkira dari segi yuran sebaliknya terpulang kepada ahli untuk memberi sumbangan ikhlas.

Sementara sesi latihan percuma juga diberikan kepada anak yatim yang berminat sebagai inisiatif untuk menarik penyertaan golongan berkenaan untuk dalam aktif dalam sukan muay thai.


MUHAMMAD Ubai mencari pelapis dalam kalangan generasi muda.

“Sejak berumur belasan tahun lagi, saya aktif menceburi sukan muay thai dan mempunyai tauliah daripada Persatuan Muaythai Malaysia, Jawatankuasa Muay Thai Dunia dan Institut Sukan Negara (ISN).

“Selain itu, saya juga pernah dilantik sebagai jurulatih peringkat kebangsaan, ahli jawatankuasa Persatuan Muay Thai Selangor 2017 selain pernah menghasilkan silibus muay thai untuk pelajar sekolah tapi tidak dapat diteruskan kerana kekangan kewangan dan masa kerana terikat dengan komitmen kerja.

“Jadi, saya rasa rugi jika mensia-siakan pengalaman yang ada dan dari situ, timbul idea menubuhkan kelab bagi menghidupkan sukan muay thai sekali gus melatih anak tempatan,” katanya yang lebih sinonim dengan gelaran Ubai Hati Merah.

Berkongsi lanjut, Muhammad Ubai berkata, sesi latihan diadakan di Gelanggang Tomoi Buloh Gading, Kampung Melayu Sungai Buloh setiap Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu dari jam 9 malam hingga 11 malam.

Katanya, dia tidak berseorangan sebaliknya mendapat bantuan tenaga pengajar lain bagi mengendalikan sesi latihan.


MUHAMMAD Ubai melihat aksi yang dilakukan muridnya.

“Silibus latihan berbeza mengikut peringkat umur dan menariknya, mereka tidak hanya diajar teknik untuk pengetahuan diri sendiri.

“Sebaliknya, ahli turut diberi peluang menyertai kejohanan bagi membolehkan mereka menimba pengalaman bersaing dengan lawan selain menguji tahap kemampuan diri.

“Meskipun kelab ini masih baru, pencapaian mereka boleh dibanggakan kerana ada yang pernah merangkul gelaran juara dan naib juara remaja peringkat kebangsaan 2016, naib juara dalam Muay Thai Ranking Selangor 2017 selain menjadi pemegang tali pinggang dalam Kejohanan Antarabangsa Kuda Merah Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Ubai berkata, dia berharap kelab berkenaan terus mendapat sambutan menerusi pertambahan ahli terutama dalam kalangan generasi muda pada masa akan datang.

“Selain itu, matlamat saya menubuhkan kelab ini adalah untuk mencari pelapis dan mencungkil bakat anak muda tempatan untuk diketengahkan.

“Saya percaya, ramai yang berpotensi untuk pergi jauh termasuk ahli kelab sendiri dan berharap mereka tidak hanya meraih kejayaan di dalam negara sebaliknya cemerlang di peringkat antarabangsa,” katanya.


BERSAMA ahli Kelab Tomai Buloh Gading.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 12:59 PM