PASUKAN Malaysia yang menyertai Pertandingan IMO 2018 di Romania dianggotai (dari kiri) Tan Li Xuan, Tristan Chang, Muhammad Hafizudeen, Sean Gee Zing, Chan Kai Chin, Yeoh Zi Siong bergambar dengan Fasilitator Program IMO Mihai Cristian (kanan) .
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Penyertaan wakil negara terdiri daripada enam anak muda dalam Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa (IMO) ke-59 di Cluj, Romania membuahkan hasil apabila membawa pulang dua pingat gangsa dan tiga sijil penghargaan terhormat untuk delegasi Malaysia.

Mereka terdiri daripada penuntut A-Level Inti College, Chan Kai Chin, 19; pelajar Sekolah Tinggi Melaka, Sean Gee Zing, 19; penuntut Taylor University, Muhammad Hafizudeen Mohamad Zaman, 18; pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling, Yeoh Zi Siong, 17; pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama Damansara (3), Tan Li Xuan, 16, dan Tristan Chang, 15, dari Sekolah Tinggi Kuen Cheng.

Kejayaan itu amat membanggakan namun laluan pasukan negara dalam pertandingan itu tidak mudah apabila mereka perlu berdepan ramai pencabar iaitu 500 peserta dari lebih 100 negara yang mengambil bahagian.

Pengerusi Subsidiari-subsidiari ExxonMobil di Malaysia, Edward Graham berkata, selain memupuk bakat muda dalam bidang Sains dan Matematik, pertandingan itu adalah platform untuk memberi penuntut prakolej mendapat pendedahan dan pengalaman bersaing di peringkat antarabangsa.

Katanya, sebanyak RM120,000 diperuntukkan untuk pasukan negara menyertai IMO pada tahun ini manakala lebih RM1 juta sejak 2010.

“Kami percaya pembabitan dalam program sebegini membantu dalam meningkatkan pengetahuan dan minat mereka dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Di samping itu, pendedahan sebegini juga penting untuk memperkasa generasi muda dalam menuju ke alam pekerjaan abad ke-21.

“Lagipun, mereka bukan saja bakal menjadi pemimpin negara tetapi pemacu industri pada masa depan,“ katanya.


DARI kiri, Tristan Chang, Tan Li Xuan, Chan Kai Chin, Yeoh Zi Siong, Sean Gee Zhing dan Muhammad Hafizudeen meraikan kemenangan mereka selepas meraih pingat gangsa bersama Timbalan Pengerusi IMO (Malaysia) 2018 Dr Nor Sakinah Mohamad (kanan).

Pertandingan selama dua hari itu menguji setiap peserta untuk menjawab soalan dan menyelesaikan masalah berkaitan Matematik dan tujuh mata akan diberi untuk setiap jawapan yang betul.

Pemenang pingat ditentukan berdasarkan jumlah kutipan mata dengan tertinggi meraih pingat emas, diikuti perak dan gangsa.

Menariknya, tiada yang akan pulang dengan tangan kosong kerana sijil penghargaan terhormat diberikan kepada semua peserta walaupun sekadar mengutip tujuh mata penuh.

Sejak 1995, Malaysia menghantar 23 penyertaan dan antara kejayaan diraih sepanjang tempoh itu adalah tiga pingat emas, 11 perak, 21 gangsa dan 29 sijil penghargaan terhormat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 11:59 AM