DARI kiri, Intan, Iffah, Sabrina, Ramona, Shanice dan Jasmine.
Hazril Md Nor
hazril.nor@mediaprima.com.my

Kelibat wanita dalam industri e-sukan bukanlah perkara baru. Ahad lalu, pasukan Sphynx yang dibarisi lima gadis layak mewakili Malaysia untuk pusingan kelayakan Asia Tenggara CS:GO (Women) bagi kejohanan Permainan Sukan Elektronik Dunia (WESG).

Kelayakan Malaysia bagi WESG pada Jumaat hingga Ahad mengumpulkan lima permainan e-sukan iaitu Dota 2, Counter Strike: Global Offensive, Hearthstone, Starcraft II dan VainGlory.

Sphynx dianggotai Ramona Azween, Aisya Sabrina Sabri, Iffah Nazurah Saidi, Intan Farhana Harun Noor Rashid, Jasmine Christina Sim Huiyan dan Shanice Choo Xin Ru. Mereka memberikan persembahan baik di final, mencatatkan rekod kemenangan 2-0 ke atas MercenariesX.

Ketika ditemui pada acara penyampaian hadiah, Intan berkata, dia dan pasukannya sudah lama berlatih mempersiapkan diri menghadapi kelayakan ini.

“Kami berlatih setiap hari selama sebulan. Dari situ, kami dapat mengukuhkan kerjasama dan keserasian antara ahli. Semangat kesukanan ini yang membuatkan kami percaya antara satu sama lain,” katanya.

Intan berkata, dia teruja kerana inilah kali pertama pasukan ini bergelar juara dan seterusnya mewakili Malaysia.

Katanya, sebelum ini tidak ada lagi pasukan dibarisi wanita di Malaysia boleh dijadikan idola namun tidak mematahkan semangat mereka untuk berjuang.

“Kemenangan pertama kami ini adalah pengalaman berharga dan kami berjaya buktikan wanita juga hebat bermain CS:GO.

“Kami akan cuba yang terbaik untuk mewakili Asia Tenggara pula ke kelayakan Asia Pasifik November nanti,” katanya.


INTAN (tiga dari kiri), Sabrina (tiga dari kanan), Ramona (dua dari kanan) bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Aisya Sabrina pula bijak membahagikan masanya sebagai pelajar universiti. Katanya, dia akan ke kuliah dan menyiapkan tugasan waktu petang dan akan berlatih malam hari.

“Ibu bapa saya ragu-ragu dengan hobi ini tetapi selepas menyertai beberapa kejohanan, mereka mula menyokong kerana faham bermain ‘game’ tidak mengganggu pelajaran.

“Kawan saya pula berfikiran terbuka dan tidak berhenti memberikan sokongan. Mereka juga mengucapkan tahniah kepada kemenangan saya dan ahli pasukan. Ada juga yang berkongsi dan rekod video ketika acara itu berlangsung,” katanya.

Sementara itu, Ramona Azween pula berkata, masih ada kesilapan boleh diperbaiki untuk kelayakan seterusnya.

“Ketika di final, kami bermain dengan baik tetapi masih ada kesilapan yang boleh diperbetulkan lagi. Bagi menghadapi kelayakan seterusnya, kami akan berbincang untuk memperbetulkan mana yang silap dan seterusnya memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Bagi kategori CS:GO pula, ia dimenangi FrostFire dan Gilgamesh bagi kategori Hearthstone. Ketiga-tiga pasukan berserta dua lagi wakil daripada Dota 2 dan Starcraft II akan berentap untuk merebut wang tunai terkumpul AS$150,000 (RM622,500) pada November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 12:53 PM