SHAIK Awish ketika menjalani latihan bola sepak di padang.
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my

Tiga kali melakukan pembedahan akibat kecederaan lutut kanan ketika menjadi pemain bola sepak profesional tidak menghalang Shaik Awish Alkirani Shaik Haronarashib, 25, membuka akademi bola sepak.

Dia yang bermain untuk pasukan Perlis FA dalam Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) musim lalu berkata, kecederaan ligamen lutut krusiat hadapan (ACL) yang dialami juga membuatkan dia nekad bersara awal daripada arena bola sepak.

“Saya tiada pilihan selain menggantung but lebih awal. Kecederaan lutut ini menjadi risiko buat saya dan akan disingkirkan daripada pasukan yang diwakili jika gagal mengekalkan prestasi terbaik. Sebab itu, saya mencari platform sesuai untuk meneruskan bidang yang diminati,” katanya.

Lebih dikenali dengan panggilan Awish, pemain pertahanan itu berkata, penubuhan akademi bola sepak yang diberi nama Akademi Bola Sepak Wira Muda diharap dapat membantu meningkatkan kembali imej bola sepak di negeri kelahirannya, Pulau Pinang.

Katanya, akademi yang didaftarkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan itu turut dibuka dalam usaha mencungkil bakat kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah menerusi latihan teknik serta kemahiran bola sepak yang betul daripada jurulatih berpengalaman.

“Mereka diasuh seawal mungkin untuk menjadi perintis kepada pemain profesional, sekali gus dapat membantu meningkatkan mutu permainan seawal peringkat sekolah lagi.

“Buat masa ini fokus saya lebih kepada daerah Nibong Tebal. Impian saya selaku pengerusi ingin menonjolkan potensi bakat muda ke peringkat lebih baik,” katanya yang pernah bermain bersama pasukan Real Mulia, PKNP FC dan MOF FC.


AKSI Shaik Awish ketika masih menjadi pemain bola sepak.

Menurut Shaik Awish, dia juga mendapat sokongan daripada pelbagai pihak terutama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam mencari lebih ramai bakat baru.

“Saya juga sudah mendapat tempat latihan dengan sesi pertama latihan bermula 6 Oktober depan di Padang Awam Jawi, Nibong Tebal.

“Dalam akademi ini, kemahiran pemain menjadi keutamaan. Sebelum membuka akademi ini, saya banyak menonton video latihan dan pengajaran oleh Akademi Bola Sepak Manchester City di YouTube,” katanya yang juga meminati pertahanan Manchester City, Vincent Kompany.

Shaik Awish berkata, dia sangat teruja apabila menonton sesi latihan akademi terbabit yang bukan saja memberi fokus kepada latihan di padang tetapi turut mengadakan kelas motivasi dan taktikal.

“Itu antara harapan saya nanti. Saya bukan saja mahu mengasah bakat muda dengan kemahiran mengawal bola dan pendedahan berkaitan corak permainan tetapi sedia memberi bimbingan terhadap tahap kecergasan dan kesediaan serangan.

“Akademi yang saya buka ini juga menyediakan kolam ais untuk membantu mengawal tahap kecederaan setiap kali habis latihan dan memberi insurans kepada setiap pelatih,” katanya.

Setakat ini, dia sudah berjaya mendapat penyertaan 20 kanak-kanak yang berminat dengan yuran pendaftaran RM150 dan yuran bulanan sebanyak RM80.

“Saya menyasarkan 100 pelatih untuk akademi ini dalam membangunkan sukan bola sepak di Pulau Pinang,” katanya.


POSISI pertahanan menjadi kekuatan Shaik Awish dalam bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 12:56 PM