DAVID Kobrosky bersama sukarelawan merancang pembinaan taman papan luncur di Afrika.
Susunan Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Pelajar sekolah menengah lazimnya mempunyai jadual yang padat dengan kerja sekolah dan aktiviti kokurikulum termasuk kegiatan sosial lain. Namun, bagi David Kobrosky, 18, yang juga pemain papan luncur mampu menguruskan masa antara belajar dan berniaga.

David dari Boston, Amerika Syarikat, mula menjual papan luncur aneka rekaan sejak beberapa tahun lalu kerana minatnya dalam bidang keusahawanan. Walaupun perniagaan dijalankan itu mendapat sambutan, selain memberinya pendapatan sampingan, tetapi jauh di sudut hatinya masih ada sesuatu yang kurang.

David tidak sekadar mahu menjual papan luncur saja, sebaliknya beliau mahu keghairahannya dalam aktiviti papan luncur menjadi sesuatu yang mempunyai tujuan lebih baik. Hasratnya tercetus selepas terbaca statistik ringkas yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) mengenai remaja di Afrika.

Berdasarkan statistik itu, populasi di Afrika berusia bawah 18 tahun akan meningkat kepada satu bilion orang menjelang 2050. David menyedari sesuatu yang positif perlu dilakukan untuk membantu remaja lelaki dan perempuan di negara itu kerana bimbang meningkatnya masalah sosial berikutan jumlah yang terlalu ramai.

Laluan David yang mahu menubuhkan badan amal untuk remaja di Afrika menjadi mudah apabila beliau bertemu seorang pemain luncur dari Uganda bernama Jack dalam satu acara papan luncur anjuran syarikat David, Easy Board Co.

Jack menceritakan bagaimana satu-satunya taman bermain papan luncur di komunitinya memberi impak positif kepada belia di kawasan itu. Kisah itu memberi David ilham untuk menubuhkan Skate 4 Africa.

“Ini adalah organisasi yang tidak berdasarkan keuntungan dan bekerjasama dengan organisasi tempatan di Afrika untuk membina lebih banyak taman bermain papan luncur. Kami juga mengagihkan papan luncur yang didermakan orang ramai dan menghubungkan belia kurang berkemampuan dengan aktiviti sihat.

“Skate 4 Africa juga merekrut belia Afrika untuk menyertai program sukarelawan dalam projek khidmat komuniti di samping mengupah tukang tempatan dalam pembinaan taman itu yang secara tidak langsung menyokong ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Selepas kunjungan pertama David ke Ethiopia, beliau menyaksikan sendiri taman bermain papan luncur yang dibina hasil usahanya itu bukan saja mewujudkan aktiviti rekreasi, malah komuniti yang selamat.


DAVID KOBROSKY

Hasil kerjasama dengan organisasi Boys and Girls Club of America dan BBYO Inc, David berjaya mengumpulkan 1,600 remaja di Amerika Syarikat untuk menyertai acara mengutip dana serta mendaftarkan lebih 90 sukarelawan.

Tahun ini, Skate 4 Africa akan membina taman bermain papan luncur pertama di Zambia manakala taman kedua menyusul di Ethiopia. Beliau menyasarkan untuk membina 10 taman untuk aktiviti papan luncur menjelang 2020.

“Saya sangat meminati aktiviti papan luncur dan masih ingat kali pertama bermain papan luncur sewaktu kecil. Saya juga sering mencabar kanak-kanak lain bertanding papan luncur, tetapi saya yang sering gagal.

“Namun saya berlatih setiap hari dan setiap kali terjatuh, ia akan menguatkan lagi keazaman untuk bermain dengan lebih baik. Akhirnya, saya menyedari kejayaan tidak terhad kepada kemahiran bermain tetapi ia lebih kepada papan luncur itu sendiri,” katanya.

Langkah David dalam keusahawanan bermula apabila beliau menjual koleksi edisi terhad di laman eBay dan mereka cipta logo untuk rakan sebelum menjual papan luncur di acara yang dianjurkan di sekitar bandar tempat tinggalnya.

“Skate 4 Africa berjaya dijalankan di Uganda dan Ethiopia menggunakan pembinaan skala kecil dan besar, program komuniti dan agihan papan luncur yang menumpukan kepada persekitaran selamat dan memberi keceriaan.

“Di Ethiopia, kami mengumpul dana untuk taman awam bermain papan luncur pertama di negara berkenaan dan merancang untuk bekerjasama dengan organisasi tempatan seperti Skate Aid, Make Life Skate Life dan Ethiopia Skate.

“Musim panas lalu kami mengunjungi Ethiopia dan mengagihkan papan luncur yang didermakan 17 kedai papan luncur di Amerika Syarikat yang memanfaatkan Program Peminjam. Ini membolehkan kanak-kanak belajar bermain papan luncur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 5:29 AM