SUKARELAWAN dan penduduk bergambar kenangan selepas tamat program. FOTO/FAIL

Redzuan Muharam

gen.y@hmetro.com.my

KEMAHIRAN berbahasa Inggeris sering diberi penekanan dalam banyak aspek pendidikan di pelbagai peringkat pengajian.

Penguasaan dalam bahasa itu bukan saja membuka peluang pendidikan dan kerjaya di peringkat tempatan tetapi juga global.

Malah, kemahiran menguasai bahasa Inggeris membolehkan seseorang meneroka teknik pembelajaran yang juga bermanfaat untuk cabang ilmu lain.

Bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman tidak ketinggalan, sekumpulan 15 sukarelawan dari pelbagai institusi pengajian tinggi berkongsi ilmu dan kemahiran yang ada menerusi penyertaan dalam Misi Sukarelawan Siswa di Kampung Solob, Sabah, anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

Berkongsi pengalaman, Muhammad Irsyad yang juga penuntut tahun akhir Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya (UM) gembira kerana terpilih menjadi sukarelawan dalam program berkenaan.

Menurut Muhammad Irsyad, banyak pengalaman ditimba sepanjang misi berkenaan dan paling menarik apabila dapat menjalankan aktiviti bersama komuniti setempat.

“Penyertaan dalam program ini bukan saja memberi peluang untuk saya berinteraksi dengan penduduk setempat tetapi berkongsi ilmu yang ada. Secara tidak langsung, saya dapat memberi sumbangan kepada masyarakat walaupun masih bergelar mahasiswa.

“Di samping itu, saya dan sukarelawan lain juga dapat menceriakan dan menambah baik persekitaran sekolah sekali gus memberi wajah baru kepada kawasan terbabit,” katanya.

Muhammad Irsyad berkata, bukan hanya sukarelawan tetapi semua aktiviti itu diadakan bersama penduduk setempat.

Katanya, kerjasama menerusi aktiviti berkenaan seterusnya mewujudkan kemesraan di antara sukarelawan dan penduduk walaupun dalam tempoh singkat.

“Bukan saja penduduk tetapi kami turut berkesempatan meluangkan masa bersama murid di SK Solob sepanjang dua minggu berada di sana terutama dengan murid tahun enam yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Pelbagai aktiviti diadakan bersama mereka antaranya belajar sambil berseronok, kelas Linus, Jom Belajar Iqra, slot membaca dan motivasi rakan sebaya.

“Bagi meningkatkan penguasaan murid, kami galakkan mereka bertutur dalam bahasa Inggeris dalam semua aktiviti yang diadakan,” katanya.

“Pendek cerita, misi itu meninggalkan kenangan manis buat semua sukarelawan tetapi paling menyeronokkan apabila kami dapat menyiapkan sebuah pondok menunggu yang bakal digunakan oleh murid sekolah dan ibu bapa yang datang menjemput mereka pulang setiap hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 3:52 AM