ELIA (duduk tengah) gembira menerima lawatan pelakon Arash Mohamad (dua dari kanan) ketika berada di hospital. FOTO/FAIL
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

MENGALAMI kecacatan kekal adalah hakikat perit perlu diterima oleh mereka yang melalui situasi itu.

Namun, gadis berasal dari Segamat, Johor, Elia Nurul Syahida Nasruddin menghadapi dugaan itu dengan tenang walaupun kehilangan kaki kanan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 20 September lalu.

Kecekalan gadis berumur 22 tahun ini dapat dilihat menerusi kata-kata positif yang dimuat naiknya di laman Instagram (IG) selepas beberapa hari kejadian.

Malah, perkongsian itu juga mendapat maklum balas positif netizen yang mengharapkan Elia terus bersemangat untuk meneruskan kehidupan.

Berkongsi lanjut, Elia berkata, dia mendapat kekuatan untuk menghadapi ujian itu daripada keluarga dan rakan yang tidak henti-henti memberi sokongan moral.

Katanya, berterusan meratapi nasib tidak akan mengubah apa yang berlaku kerana baginya, hidup perlu diteruskan.

“Kejadian itu berlaku ketika saya dalam perjalanan ke tempat kerja apabila motosikal dinaiki dilanggar dari arah belakang hingga saya terpelanting ke bahu jalan.

“Selepas kejadian itu, saya masih dalam keadaan sedar cuma tergamam apabila melihat sebahagian kaki iaitu dari pergelangan sendi buku lali ke bawah sudah tiada.

“Perasaan ketika itu bercampur baur dan jujurnya, saya seperti tidak percaya kerana semua berlaku dalam sekelip mata tetapi bersyukur kerana masih diberi peluang oleh Allah SWT untuk terus hidup,” kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Menurut Elia, kejadian itu menyebabkannya ditahan di hospital selama seminggu untuk mendapatkan rawatan rapi dan sepanjang tempoh berkenaan, dia cuba membiasakan diri hidup dengan hanya mempunyia sebelah kaki.

Elia berkata, bukan mudah untuknya melalui keadaan itu namun dia bersyukur kerana ditemani keluarga selain mendapat sokongan berterusan daripada rakan dan netizen di laman sosial.

“Ketika di hospital, saya memuat naik perkongsian mengenai apa yang berlaku di Instagram (IG) dan tak sangka ia mendapat perhatian hingga ramai memberikan sokongan walaupun tidak mengenali saya.

“Daripada situ, saya mendapat kekuatan dan jadi lebih bersemangat kerana yakin ada insan lain yang mengalami nasib lebih teruk daripada saya.

“Jadi, daripada terus bersedih, lebih baik saya pandang ke hadapan kerana percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya.

Elia berkata, apa yang berlaku sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk menggenggam segulung ijazah meskipun terpaksa menangguhkan pengajian buat sementara waktu.

Katanya, pelajaran tetap menjadi keutamaan malah dia berharap impiannya untuk menjadi arkitek profesional menjadi kenyataan.

“Sejak dulu lagi, saya bercita-cita menjadi arkitek dan lebih bersemangat untuk merealisasikan impian itu selepas apa yang berlaku.

“Lagipun, saya lihat ramai orang kurang upaya (OKU) cemerlang dalam bidang masing-masing jadi tidak mustahil saya juga boleh dengan syarat berusaha keras tanpa putus asa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 4:00 AM