AHED pernah berada dipenjarakan selama lapan bulan oleh Mahkamah Israel sebelum dibebaskan pada 29 Julai lalu. FOTO/AGENSI
Susunan Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

“KAMI bukan mangsa sebaliknya pejuang kebebasan. Pelarian Palestin tidak memerlukan wang daripada Amerika Syarikat (AS) tetapi kembalikan tanah air dan maruah kami,” tegas ikon aktivis remaja terkenal dunia, Ahed Tamimi, dalam ucapannya sempena Fete de L’Humanite (Festival of Humanity) di Perancis, awal bulan lalu.

Menerima jemputan daripada penganjur festival kemanusiaan itu, hak Ahed untuk menyuarakan bantahan terhadap Israel ke mata dunia cuba dinafikan apabila negara itu menyekat gadis ini dan keluarganya keluar melepasi sempadan.

Tanpa sebarang alasan kukuh atas sekatan itu, akhirnya Ahed bebas bergerak dan aktif memenuhi jemputan majlis solidariti di negara Eropah, terbaru di Sepanyol.

Menyebarkan mesej bantahan kependudukan Israel dan pengalamannya di sebalik palang besi ke seluruh dunia, gadis berusia 17 tahun ini mengakui tidak pernah menyesal dengan insiden berlaku ke atasnya sebelum ini. Bahkan menyifatkan hukuman penjara yang dikenakan membantu dia menjadi lebih matang.

Lebih menarik, dia turut berpeluang mempelajari ilmu undang-undang antarabangsa ketika berada di dalam penjara bersama temannya.

Menyeru penduduk dunia memboikot Israel dan membongkar kebenaran mengenai penderitaan Palestin, Ahed menyedari dia sentiasa menjadi ‘perhatian’ terutama ucapannya yang mampu dijadikan senjata utama untuk menentang dirinya, malah mungkin mengembalikannya ke bilik bertirai besi.

Bercita-cita bergelar peguam, Ahed tegas menyampaikan ‘amaran’ kepada Presiden AS bahawa Baitulmaqdis adalah selama-lamanya ibu kota Palestin.

“Sebagai remaja Palestin berusia 17 tahun hari ini, pastinya anda menderita dengan amalan harian diperkenalkan Israel sepanjang kependudukan mereka, malah kanak-kanak Palestin tidak terkecuali apabila ditangkap di ‘checkpoint’ Israel,” katanya yang berasal dari perkampungan Nabi Salih, Tebing Barat.


KAMI adalah pejuang kebebasan. FOTO/AGENSI

Dilihat sebagai simbol kebangkitan Palestin menentang Israel, Ahed terkenal gara-gara videonya menampar dua tentera Israel yang menjadi tural ke seluruh dunia hingga menimbulkan perdebatan menarik di peringkat antarabangsa.

Insiden 15 Disember 2017 itu berlaku apabila Ahed turut menyertai demonstrasi menentang penaklukan Israel di kawasan berdekatan kampungnya.

Bantahan itu bertukar menjadi kronik apabila lebih 200 penduduk Palestin membaling batu ke arah tentera rejim itu sekali gus memasuki kediaman Ahed yang didakwa melontar batu secara berterusan dari dalam rumah.

Kemuncak kejadian ini, sepupu Ahed yang berusia 15 tahun tercedera akibat terkena peluru besi bersalut getah. Sebagai balasan, Ahed bersama ibu, Nariman dan sepupunya, Nour mendekati dua tentera Israel di luar rumah mereka, seterusnya menampar, menendang dan menolak tentera berkenaan sambil aksi itu dirakamkan. Video berkenaan dimuat naik ke laman Facebook milik Nariman dan menjadi viral.

Pada 19 Disember 2017, Ahed ditahan dan didakwa atas serangan dan melontarkan batu terhadap tentera Israel, ibu dan sepupunya turut ditahan atas kes yang sama. Ahed dan ibunya dijatuhkan hukuman penjara bermula Disember 2017 dan dibebaskan pada 29 Julai lalu.

Kes ini menarik perhatian dunia hingga mewujudkan perdebatan mengenai masyarakat Palestin dan tentera Israel. Akibatnya, Israel dikecam oleh komuniti antarabangsa manakala pergerakan besar-besaran diadakan di bandar popular dunia termasuk di utara AS dan Eropah bagi menyatakan sokongan kepada Ahed.

Keberanian Ahed turut memberi inspirasi kepada produser filem, Jesse Roberts dan Jesse Locke untuk membuat dokumentari mengenai aktivis Palestin ini.

Dokumentari ini kemudian ditayangkan ke seluruh dunia, sekali gus memenangi anugerah Dokumentari Terbaik sempena Respect Human Right Film Festival, Belfast, Ireland Utara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 3:50 AM