Daily Mail

ORANG ramai pelbagai bangsa dan agama berganding bahu menguruskan bantuan kepada mangsa kebakaran Grenfell Tower - mengasingkan barangan diterima, membawa susu dan minuman ke pusat penempatan sementara serta anggota penyelamat - tanpa ada sesiapa menyelia mereka.

Ketika pihak tertentu bertelagah mengenai plastik murah membalut menara itu - yang dianggap menjadi punca api merebak pantas - dipasang agar Grenfell Tower tidak kelihatan hodoh di ‘kawasan orang kaya’ orang ramai bergotong-royong tanpa mempedulikan darjat, warna kulit dan status.

Wanita dari persatuan ibu bekerja di samping wanita dari Filipina dan rahib tua Khatolik manakala anggota dari pertubuhan kebajikan profesional memberi kaunseling kepada keluarga mangsa.


t

Wanita bertudung, lelaki berjubah dan berkopiah, wanita dan lelaki berseluar pendek bertungkus-lumus dalam cuaca panas menguruskan barangan bantuan serta membantu mangsa.

Bagi mereka, kebakaran itu adalah tragedi masyarakat dan masyarakat bertanggungjawab menguruskannya.

Setakat ini, angka rasmi pihak berkuasa jumlah korban ialah 30 orang dengan 70 lagi hilang. Sebahagian besar mangsa yang maut dipercayai kanak-kanak.

Gereja St Francis menghantar sukarelawan mengisi makanan yang diterima dari seluruh negara ke dalam bungkusan dan menyusun giliran memasak .

Gereja itu kini penuh dengan barangan bantuan, termasuk ubat gigi, tuala wanita, makanan dan minuman.

Makanan yang diterima terlalu banyak menyebabkan pekerja bantuan membawanya kepada golongan gelandangan agar ia tidak dibazirkan.

Tiada siapa yang menguruskan mereka - tiada agensi kerajaan menyelia - namun semua orang bagaikan tahu apa yang perlu dilakukan.

Masjid berdekatan kawan itu mengumpul lebih 60 tan pakaian, keperluan mencuci badan, selimut, tilam, makanan dan ubat.

Pemilik sebuah kafe berdekatan, Kensal Rise, menutup kedainya, membuka gerai berdekatan menara itu dan memberi minuman serta sandwic percuma.


Bintang pop Rita Ora turut membantu mengasingkan barangan bantuan. - Foto Daily Mail

Sukarelawan dan selebriti, termasuk bintang pop Rita Ora membantu sepanjang malam mengasingkan barangan bantuan dan membawanya kepada mangsa.

Ora, 26, melalui Instagram berkkata: “Ini kawasan saya membesar. Doa saya untuk semua mangsa, hati saya amat tersentuh..

Itu kawasan permainan saya masa kecil. Saya akan lakukan apa yang terdaya untuk membantu.

Penyanyi Adele yang dilahirkan di Tottenham, London Utara, juga melawat mangsa, bertemu, berbual dan memeluk mangsa. Penyanyi Lily Allen menawarkan tempat tinggal kepada mereka yang memerlukan.

Tabung yang ditubuhkan sudah mengumpul hampir £3 juta dalam masa 48 jam

Tiga tabung sudah mengumpul £2.8 juta iaitu JustGiving yang diselia ibu beranak dua, Karolina Hanusova, sukarelawan Yayasan The Rugby Portbello berjaya menggumpul £855,500 manakala satu lagi tabung oleh guru Hayley Yearwood mengumpul £935,000.

Tabung oleh Evening Standard sudah mengumpul £1 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 9:32 PM