Agensi

SEORANG penjinak buaya di sebuah zoo di Ko Samui, Thailand, hampir maut dibaham buaya ketika membuat pertunjukan ‘berani mati’ memasukkan kepalanya ke dalam mulut reptilia itu dan buaya itu tiba-tiba ‘membaham’ kepalanya sebelum menghayunkannya ke kiri dan kanan.

Kejadian Ahad lalu itu berlaku ketika pekerja zoo terbabit membuat persembahan untuk sekumpulan penonton.

Menurut Mirror, dalam rakaman video kejadian itu, lelaki berkenaan melutut sebelum memasukkan kepalanya ke dalam mulut buaya yang ternganga luas.

Selama beberapa saat persembahan rutin itu itu berjalan lancar, namun buaya berkenaan tiba-tiba menutup mulut, ‘mengepit’ kepala lelaki berkenaan dan menghayunkannnya ke kiri dan kanan sebelum kepala mangsa terlepas daripada mulut haiwan itu.

Lelaki itu kedengaran menjerit kuat dan terduduk di lantai manakala buaya berkenaan berjalan masuk ke dalam kolam.

Menurut keterangan pada video yang dimuat naik itu, sebelum persembahan, lelaki terbabit menunjukkan kecederaan lampaunya akibat buaya, termasuk kehilangan satu jari kepada penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 10:05 PM