SEORANG anak kapal yang cedera dibawa untuk rawatan di pangkalan tentera laut AS di Yokosuka. - AFP
USS Fitzgerald berlabuh di Pangkalan Tentera Laut AS Yokosuka selepas mengalami kerosakan teruk susulan pertembungan dengan kapal kontena, semalam. - AFP
AFP

Tokyo: Tujuh anak kapal Amerika Syarikat (AS) dilaporkan hilang manakala kapten mereka cedera selepas kapal perang dinaiki mereka bertembung dengan kapal kontena di pesisiran pantai Jepun, semalam.

Kejadian yang mengakibatkan kerosakan teruk terhadap kapal USS Fitzgerald yang turut dimasuki air itu dilaporkan berlaku pada awal pagi menyebabkan tiga anak kapal cedera termasuk pegawai mereka, Bryce Benson.

Dalam satu kenyataan tentera laut berkata: “Dua anak kapal dan pegawai mereka berjaya dipindahkan dari USS Fitzgerald ke Hospital Tentera Laut AS Yokosuka untuk kecederaan ringan.

“Seramai tujuh lagi anak kapal belum ditemui. Kami masih meneruskan usaha mencari mereka dengan bantuan Pengawal Pantai Jepun.”

Nahas membabitkan Fitzgerald dan kapal mengibarkan bendera Filipina, ACX Crystal berlaku sekitar jam 2:30 pagi (waktu tempatan) di 56 batu nautika di pesisiran Izu.

Kawasan itu laluan perkapalan yang sibuk berhampiran pelabuhan kontena utama di Yokohama serta Tokyo. Kapal perang itu yang diiringi dua bot tunda belayar menuju ke Yokosuka.

Pegawai pengawal pantai Jepun, Yutaka Saito berkata: “Jumlah kapal di sini amat tinggi dan nahas pernah berlaku sebelum ini.”

Tidak jelas apa yang menyebabkan pertembungan itu, tetapi NHK melaporkan kapal kontena berukuran 222 meter itu membuat pusingan ketika waktu kemalangan.

Pengawal pantai yang menyiasat kejadian turut menghantar lima kapal, dua pesawat dan pasukan penyelamat yang terlatih untuk membantu dalam usaha pencarian anak kapal yang hilang, kata jurucakapnya.

Selain itu, tentera AS berkata, kapal USS Dewey dan dua bot tunda tentera laut turut menyertai pencarian. Pasukan Pertahanan Jepun turut menghantar tiga kapal dan beberapa pesawat untuk membantu.

Rakaman disiarkan NHK menunjukkan kerosakan teruk pada sisi kanan Fitzgerald manakala ACX Crystal hanya mengalami kerosakan ringan.

Jurucakap pengawal pantai berkata, 20 anak kapal kontena berkenaan tidak cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 2:30 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »