RAKAMAN kamera keselamatan menunjukkan detik lelaki itu diserang beberapa ekor anjing. - Agensi
Agensi

Moscow: Seorang lelaki mabuk diserang dan dibunuh sekumpulan anjing ketika berjalan pulang ke rumahnya.

Kejadian dirakam kamera keselamatan itu berlaku di Sovetsky, Russia.

Lelaki yang nama dan usianya tidak didedahkan ialah seorang pengawal keselamatan yang memberi makan kepada anjing liar berkenaan sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, pada hari kejadian dia pulang tanpa membawa makanan untuk anjing berkenaan menyebabkan kumpulan haiwan itu dipercayai marah.

Dalam video itu, kumpulan 12 anjing berkenaan dilihat mengelilingi lelaki terbabit ketika dia berjalan terhuyang-hayang membawa sebotol arak.

Dia tersandung seekor anjing dan jatuh menyebabkan satu lagi menerkamnya. Bagaimanapun, selepas bergelut seketika dia berjaya bangun semula.

Lelaki itu kemudian terjatuh lagi sebelum bangkit semula.

Malangnya, dia kemudian tersandung untuk kali ketiga menyebabkan seekor anjing mengambil peluang menerkamnya, disusuli anjing lain.

Lelaki itu dilaporkan mati dalam masa hanya dua minit selepas diserang.

Sisa mayatnya ditemui keesokannya dan polis sudah mula melancarkan siasatan terhadap kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 9:03 AM