KEADAAN dua kereta api selepas berlanggar di Iskandariah, Mesir, kelmarin. - Agensi
Reuters

Kaherah: Dua kereta api berlanggar di Iskandariah, bandar tepi pantai di Mesir, kelmarin, menyebabkan 42 orang terbunuh dan 133 yang lain cedera.

Seorang saksi berkata, kereta api itu terbentuk seperti piramid sebaik kedua-duanya berlanggar di luar sebuah stesen di bandar itu.

Pelanggaran berkenaan menyebabkan mayat bergelimpangan sementara pekerja penyelamat mengambil masa lama untuk menarik keluar mayat dan mangsa yang tersepit.

Kejadian berlaku jam 2.15 petang waktu tempatan berhampiran stesen Khorshid.

Satu sumber keselamatan berkata, kemalangan mungkin berpunca daripada kerosakan suis penukaran landasan.

Menteri Pengangkutan, Hisham Arafat pula mendakwa, ‘kesilapan manusia’ yang menyebabkan kedua-dua kereta api itu berlanggar. Dia bagaimanapun tidak memberi butir lanjut.

Seorang penduduk, Hoda, yang tinggal tidak jauh dari landasan tempat kemalangan berkata, dia melihat kedua-dua kereta api itu berlanggar. “Ia naik ke udara, membentuk piramid apabila berlanggar, sebelum jatuh ke tanah semula.’

Sementara itu, seorang penumpang yang cedera, Moumen Youssef berkata, kereta api yang dinaikinya bergerak laju.

“Saya tercampak ke lantai. Apabila berjaya keluar, saya melihat empat gerabak terbalik dan mayat bergelimpangan,” katanya.

Penduduk Mesir sudah sekian lama menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keselamatan kereta api di negara itu.

Pada 2012, kira-kira 50 orang, kebanyakannya kanak-kanak terbunuh apabila sebuah kereta api merempuh sebuah bas sekolah di selatan Kaherah.

Bagaimanapun, bencana terburuk kereta api di Mesir ialah pada 2002 apabila tujuh gerabak sebuah kereta api yang sesak dengan penumpang terbakar menyebabkan 360 orang mati.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 6:03 AM