GAMBAR menunjukkan bangkai beruang koala yang diskru pada tiang kayu di sebuah taman berhampiran Brisbane, Australia. - Reuters
Reuters

Sydney: Polis Australia menjalankan siasatan terhadap penemuan bangkai beruang koala yang ditemui diskru pada tiang kayu, sekali gus mencetus kemarahan kumpulan hak asasi haiwan.

Kumpulan Penyelamat Koala Queensland memberitahu, beruang kecil itu mungkin masih hidup apabila dilekatkan dengan kejam pada tiang sebuah pondok kayu sebelum ditemui mati kelmarin.

Agensi itu turut menyiarkan gambar koala berkenaan dengan anggota badannya diskru pada tiang dengan tangannya menggenggam beberapa helai daun.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Brooloo Park yang terletak 140 kilometer dari utara bandar Brisbane di negeri Queensland.

“Polis kini menyiasat perkara itu,” kata pegawai kanan polis, Sarjan Pierre Senekal semalam.

Menurutnya, Persatuan Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan (RSPCA) menjalankan bedah siasat terhadap haiwan itu untuk mengetahui punca kematiannya.

Kekejaman terhadap haiwan boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga A$252,300 (RM800,000) di Queensland.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 2:06 AM