Shang Wuyi, 46, yang kudung kaki, pekak dan bisu tidak pernah ambil cuti sebagai pekerja pembersih jalan sejak 12 tahun lalu.

TUKANG sapu di Xi’an, China, menjadi perhatian ramai bukan saja kerana hanya berkaki satu, malah tidak pernah mengambil cuti walaupun sehari sejak 12 tahun lalu.

Shang Wuyi, 46, yang juga pekak dan bisu gigih memulakan tugasnya mulai 4 pagi tanpa mengira cuaca, walaupun ketika musim sejuk bersalji sekarang.

Menurut rakannya, Shang rajin bekerja berbanding pekerja lain dan tidak pernah bercuti walaupun sehari dan menggunakan tongkat mengimbangkan badan ketika bertugas.

Shang berkata: “Saya suka bekerja kerana dilahirkan pada 1 Mei iaitu Hari Pekerja.”

Isterinya, Wang Yaqin, juga tukang sapu dan pasangan itu sering bekerja bersama.

Pasangan suami isteri yang berkahwin sejak 21 tahun lalu itu ditugaskan menyapu empat jalan yang keseluruhannya sepanjang 1,000 meter.

Daily Mail yang memetik Kan Kan News melaporkan, menurut isterinya, Shang dan adik perempuannya dilahirkan pekak dan ibu mereka juga mengalami kecacatan sama.

“Akibat pekak juga dia dia kudung kaki kiri ketika berusia tujuh tahun kerana tidak mendengar kereta api datang.

“Kami sangat memerlukan kerja ini, namun bagi suami dia amat sangat sukakan kerjanya.

“Baginya kerana ada kekurangan fizikal, dia bekerja lebih keras kerana mahu terus bekerja,” katanya.

Rakannya, Yao, memberitahu Huashang Newspaper, syif bekerja bermula 4.30 pagi namun pasangan itu tiba setengah jam lebih awal setiap hari.

“Setiap hari, apabila kami sampai ke tempat kerja, mereka sudah mula menyapu jalan.

“Jika isterinya tidak sihat dia datang 3 pagi untuk memastikan kerjanya dan isteri disiapkan mengikut waktu ditetapkan,” katanya.

Majikan mereka, Huang mengaku pada awalnya dia bimbang Shang tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik.

“Namun, dia bukan saja rajin, malah hasil kerjanya amat memuaskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 8:31 PM