Áksi robot yang bertanding meluncur salji di Korea Selatan. - Foto REUTERS
Reuters

KETIKA peserta Sukan Olimpik Musim Sejuk bersaing merebut pingat di Pyeongchang, Korea Selatan, sekumpulan robot turut bersaing meluncur salji pada kejohanan ‘Olimpik’ mereka sendiri.

Robot pelbagai bentuk dan saiz, meluncur (ada yang jatuh tunggang terbalik) menuruni bukit di resort meluncur Welli Hilli, dekat Pyeongchang

Lapan robot mewakili pasukan universiti, institut penyelidikan dan syarikat bersaing bagi merebut hadiah USD$10,000 dalam Cabaran Meluncur Robot.

Semua pasukan yang menyertai cabaran robot itu perlu memenuhi syarat ditetapkan, termasuk saiz robot perlu melebihi 50 sentimeter tinggi, berdiri di atas dua kaki, sistem kuasa sendiri serta menggunakan peluncur dan penolak.

Robot terbabit dilengkapi kamera untuk mengesan bendera merah dan biru sepanjang laluan serta selekoh ketika meluncur.

Pasukan akan mendapat mata bagi setiap tiang bendera yang tidak dilanggar serta masa terpantas tiba ke garisan penamat.

Menurut penganjur, acara itu bagi mempromosikan kemajuan teknologi robot Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 10:28 PM