Seorang lelaki membakar rumah bekas ibu mentuanya di Bogor, Indonesia, selepas membunuh bekas isteri dan bekas mentuanya, semalam. - Foto Tribun News
Agensi

CEMBURU kerana bekas isteri berkahwin lain, seorang lelaki di Bogor, Indoensia, menikam hingga mati wanita itu serta bekas ibu mentuanya sebelum membakar rumah mereka, semalam.

Lelaki itu datang ke rumah bekas mentuanya yang berusia 48 tahun dan mendapati bekas isterinya yang berusia 21 tahun turut berada di situ bersama suami barunya yang berusia 42 tahun.

Menurut laporan Tribun News, gagal menahan cemburu, dia menikam pasangan suami isteri itu serta bekas ibu mentuanya.

Dua wanita berkenaan maut manakala si suami yang cedera parah sempat melarikan diri bersama adik lelakinya yang berusia 13 tahun.

Lelaki itu kemudian membakar rumah berkenaan menyebabkan bekas isteri serta mentuanya hangus.

Ketua Polis Bogor, Andi M Dicky berkata, siasatan mendapati lelaki itu cemburu apabila mengetahui bekas isterinya sudah berkahwin lain dua minggu lalu.

“Lelaki itu kemudian didapati mati tergantung, dipercayai membunuh dirinya di sebuah bangsal tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 7:44 PM