ANGGOTA wanita pemberontak komunis Filipina ketika satu perhimpunan. - Agensi
Agensi

Manila: Presiden Filipina Rodrigo Duterte sekali lagi menjadi perhatian antarabangsa dengan kenyataan kerasnya terhadap wanita apabila mengarahkan tentera menembak bahagian sulit pemberontak wanita kerana menurutnya, tanpa organ penting itu, mereka tidak berguna.

Menurut laporan The Telegraph, beliau berkata demikian dalam ucapannya kepada 200 bekas gerila komunis di Istana Malacang, Manila, pada 7 Februari lalu, dan disiarkan media tempatan.

Kenyataan presiden berusia 72 tahun itu ditujukan kepada wanita yang menyertai pemberontak komunis di negara itu.

Duterte yang menjadi datuk bandar sebelum terpilih sebagai presiden, berkata: “Beritahu tentera (komunis), ada arahan baru. Kami tidak akan bunuh kamu. Kami akan tembak kemaluan kamu. Jika tiada kemaluan, anda tidak lagi berguna.”

Duterte menyebut ‘bisong’ iaitu dialek Visayan yang digunakan di tengah dan selatan Filipina bermaksud kemaluan wanita beberapa kali sepanjang ucapannya.

Kenyataannya itu dikecam banyak pertubuhan, termasuk Pemerhati Hak Asasi Manusia yang menggelar Duterte sebagai prejudis, menghina dan menjatuhkan maruah wanita.

Dalam kenyataan kepada Al Jazeera, wakil pertubuhan di Filipina, Carlos Conde, berkata: “Kenyataan itu menggalakkan tentera melakukan keganasan seksual ketika konflik bersenjata yang melanggar undang-undang antarabangsa.”

Duterte juga mengecam pemberontak wanita dengan menuduh mereka meninggalkan anak dan keluarga untuk menyertai komunis menentang kerajaan.

Sebelum ini, presiden itu pernah mengeluarkan kenyataan kontroversi apabila menyatakan tentera boleh merogol wanita ketika pelaksanaan undang-undang tentera di Mindanao selepas gerila Maute dan Abu Sayyaf menawan Marawi, Mei tahun lalu.

“Laksanakan tugas anda, saya akan uruskan yang lain. Saya akan dipenjarakan kerana (perbuatan) anda. Jika anda merogol tiga (wanita), saya akan kata saya yang buat,” katanya berucap kepada tentera yang berperang di Marawi.

Jurucakap Duterte, Harry Roque, berkata semua pihak tidak sepatutnya memandang serius kenyataan terbabit kerana ia ‘seloroh’ presiden.

“Kadang-kadang pembela wanita berlebih-lebih.

“Maksud saya, ia jenaka, kelakar, jadi ketawa sajalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 8:22 AM