Arab Saudi dengan kerjasama OPEC mengehadkan pengeluaran minyak. FOTO fail (Agensi)
Reuters

ARAB SAUDI akan mengehadkan eksport minyak pada Mac, walaupun permintaan minyak tempatannya rendah, ketika peneraju Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) itu berusaha mengatasi masalah harga minyak global yang rendah.

Menurut Kementerian Tenaga Arab Saudi, negara itu akan mengekalkan eksport minyak mentahnya bawah tujuh juta tong sehari (bpd) pada Mac walaupun berlaku penutupan penyelenggaraan kemudahan penapisan SMREF dengan kapasiti 400,000 bpd.

Perkembangan itu mengesahkan rancangan terdahulu yang didedahkan sumber industri.

“Arab Saudi kekal fokus untuk menghabiskan lebihan simpanan minyak. Pasaran tidak menentu menjadi kebimbangan bersama pengeluar dan pengguna.

“Justeru, kami komited mengatasi ketidaktentuan ini bagi menangani kesan negatifnya dengan melaksanakan perjanjian pengurangan pengeluaran OPEC,” kata kenyataan kementerian itu, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 10:29 PM