NOOR DAOUD
AFP

SHARM EL SHEIKH: Pelumba Palestin, Noor Daoud, wanita tunggal menguasai trek di pusat peranginan Laut Merah di sini, menawan hati penonton dengan kemahiran pemanduan ‘drift’.

Daoud menguasai kemahiran drift, sengaja mengemudi stereng untuk menjadikan roda tergelincir, berkunjung ke pusat peranginan di sini untuk pertandingan serantau.

“Sejak kecil, saya terbiasa berkumpul dengan lelaki untuk bermain bola sepak atau tenis,” kata wanita berusia 27 tahun ketika ditemui di luar pertandingan itu.

Berlumba kini menguasai hidupnya, buktinya dapat dilihat di Instagram di mana beliau sering bergambar memakai baju kulit perlumbaan.

“Saya gemarkan kereta sejak kecil dan memiliki koleksi bermain,” kata Daoud, penutur pelbagai bahasa yang lahir di Texas, Amerika Syarikat (AS) dan bersekolah di sekolah Perancis di Baitulmaqdis.

Di sini, beliau mengelilingi trek batu tar dan mengelak halangan ketika asap putih tebal dan percikan keluar dari kenderaannya.

Daoud terpaksa melupakan pusingan kedua berikutan kegagalan enjin, namun masih menerima trofi untuk penyertaan sebagai wanita tunggal.

Beliau berharap wanita Arab lain mengambil bahagian dalam pertandingan profesional.

“Biarkan gadis Arab tunjukkan kepada dunia kita juga mahu mengejar impian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 1:23 PM