EKSEKUTIF Goldman Sachs, Dina Powell. FOTO AFP
Reuters

WASHINGTON: Presiden Donald Trump berkata, beliau ada bercakap dengan eksekutif Goldman Sachs, Dina Powell yang juga salah seorang bekas penasihatnya untuk kemungkinan menggantikan Nikki Haley sebagai duta Amerika Syarikat (AS) ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bercakap kepada pemberita di Rumah Putih, Trump berkata, beliau menyukai Powell, namun beliau hanya salah seorang daripada ramai calon yang dipertimbangkan untuk jawatan di PBB itu.

Powell berkhidmat ketika tahun pertama pentadbiran Trump sebagai timbalan penasihat keselamatan nasional untuk strategi dan menjadi individu penting dalam usaha diplomatik di Asia Barat dan sebahagian daripada individu rapat dengan Presiden.

Tahun ini, beliau kembali bersama Goldman Sachs di mana beliau berkhidmat selama lebih sedekad, sebelum ini. Beliau juga adalah pegawai kanan dalam Jabatan Negara di bawah Presiden George W Bush.

Haley adalah tokoh Republikan semakin meningkat naik. Selasa lalu, beliau mengumumkan peletakan jawatan, namun menafikan spekulasi untuk mencabar Trump dalam pilihan raya akan datang.

Beliau akan meneruskan khidmat di PBB sehingga akhir tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 1:34 AM