ORANG ramai melihat kerosakan akibat banjir termasuk kereta saling bertindih. - Agensi
Agensi

MADRID: Sepasang suami isteri warga Britain antara enam mangsa korban banjir di pulau Majorca, Sepanyol selepas teksi dinaiki mereka dihanyutkan air deras selepas tebing sungai pecah.

Daily Mail melaporkan, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam kelmarin, susulan hujan lebat tanpa henti selama dua jam.

Pemandu teksi masih hilang bersama tiga mangsa yang lain.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan berkata: “Pasangan itu berada di dalam teksi dan hanyut dibawa arus banjir.

“Mayat mereka ditemui di dalam kereta.”

Penduduk menceritakan bagaimana mereka terpaksa berenang menyelamatkan diri apabila dinding rumah runtuh dan hanya mampu melihat mangsa yang hanyut di dalam kereta.

“Kami berada di rumah ketika tebing sungai pecah dan mula menghanyutkan kenderaan. Air masuk melalui pintu dan tingkap,” kata seorang penduduk.

Seorang lagi berkata: “Saya terpaksa berenang untuk menyelamatkan diri. Saya nampak kereta hanyut dengan mangsa di dalamnya.”

Sementara itu, datuk bandar Sant Llorenc, Rosario Sanchez mengesahkan mangsa yang maut terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita.

Antara yang maut termasuk bekas datuk bandar Arta, Rafel Gili yang keretanya dihanyutkan ke laut.

Dua warga emas lelaki dan wanita dilaporkan terperangkap di dalam rumah, manakala mangsa keenam pula ditemui mati di bandar S’llot.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 5:59 AM